Selasa, 2 Ogos 2011

Menonton Captain Amerika bukan bermaksud aku pro Amerika


Captain America: The First Avenger merupakan siri filem superhero Avenger terakhir sebelum filem The Avengers ditayangkan pada bulan Mei 2012.

Filem Captain America ini merupakan filem kedua yang diadaptasi daripada watak superhero terbitan Marvel. Filem Captain America yang pertama diterbitkan pada tahun 1990 dan kurang mendapat sambutan.

Yang menarik tentang filem Captain America: The First Avenger, ia adalah sebuah filem superhero yang berlatar belakangkan era Perang Dunia Kedua. Seolah-olah kita sedang menonton sebuah filem perang yang disulami dengan superhero dan sains fiksyen.

Di dalam filem ini juga ia mempunyai kaitan dengan filem-filem superhero Avenger sebelum ini seperti The Incredible Hulk, Iron Man dan Thor. Kaitan yang paling kuat sudah semestinya penglibatan Nick Fury (lakonan Samuel L. Jackson) dalam filem Iron Man dan Thor, penglibatan Howard Stark (ayah kepada Tony Stark) dan kiub kuasa (cosmic cubes) yang ada kaitannya dengan filem The Thor.

Filem ini juga menampilkan teknologi digital bermutu tinggi di mana watak Chris Evans iaitu Steve Rogers di'kurus'kan pada awal filem.

Menurut jangkaan aku sebelum menonton filem ini, aku menjangka sudah pasti filem ini akan dipenuhi dengan propaganda keangkuhan tentera Amerika seperti yang ditonjolkan dalam siri filem Transformers, bagaimanapun jangkaan aku meleset.

Meskipun filem ini berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua, namun pertempuran antara tentera Amerika dengan Nazi agak kurang dipaparkan, di mana sebenarnya tentera Amerika bertempur dengan HYDRA yang boleh dikatakan sebagai sub-con kepada Nazi.

Filem ini juga turut menyindir pentadbiran Amerika Syarikat apabila pada mulanya watak Captain America dipergunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk menjual bon bagi menampung perbelanjaan kerajaan membeli senjata.

Ya, aku berpuas hati dengan filem ini dan tidak sabar untuk menyaksikan kesemua superhero Avenger ini disatukan di dalam filem The Avengers tahun hadapan.

Oh, sekiranya anda menyangka The Avengers sahaja filem superhero yang dinantikan tahun hadapan, sebelum filem Captain America dimainkan, terlebih dahulu aku menyaksikan teaser The Amazing Spider-Man yang akan ditayangkan pada bulan Mac 2012. Cuma aku pelik, kenapa watak Peter Parker bertutur dengan loghat British?

TEASER THE AMAZING SPIDER-MAN

Tiada ulasan: