Jumaat, 8 Julai 2011
Cara pendekar
The Warrior's Way pernah ditayangkan di pawagam di Malaysia namun sambutannya tidaklah seperti filem Transformers: Dark of the Moon yang sedang ditayangkan sekarang. Rasanya filem ini hanya mampu bertahan selama tiga hari di pawagam.
Kini ia boleh didapati menerusi DVD dan aku baru menontonnya. Hasilnya, aku merasakan filem ini lebih berbaloi ditonton daripada filem Transformers poyo yang kini cuba untuk 'menjual' Rosie Huntington-Whiteley setelah sebelum ini ramai lelaki yang meleleh air liur melihat bentuk badan Megan Fox. Hanya apabila Megan Fox menyamakan Michael Bay seperti Hitler maka tiada ruang lagi untuk Mikaela kembali membuntut menaiki motosikal untuk lanjutan Transformers. Untuk tidak memberi hampagas maka pelakon iklan baju dalam arahan Michael Bay telah dipilih sebagai tarikan seksual baharu menarik penonton menonton filem robot yang tidak sesuai untuk kanak-kanak ini. Ironinya kebanyakan fesyen pakaian Rosie Huntington-Whiteley dalam filem ini tidak memakai baju dalam.
Berbalik kepada filem The Warrior's Way yang bergenre western atau boleh juga digelar sebagai sushi western ini sebenarnya bukanlah suatu bentuk filem baharu yang cuba diketengahkan oleh pengarah Sngmoo Lee ini. Penggabungan budaya barat seperti koboi dan budaya timur seperti samurai, ninja dan kung-fu telah lama dibuat oleh Hollywood. Bermula dengan filem The Silent Stranger pada tahun 1968 kemudian The Five Man Army pada tahun 1969 yang menggabungkan spaghetti western dan filem samurai yang dibintangi oleh Peter Graves, Bud Spencer dan Tetsurô Tanba disusuli dengan filem The Red Sun pada tahun 1971 yang dibintangi oleh Charles Bronson dan Toshiro Mifune dan filem Shoot First, Ask Questions Later pada tahun 1975.
Kemudian disusuli pula dengan penggabungan genre western dan seni mempertahankan diri Kung-fu yang digelar dumplin western ataupun tofu western seperti siri TV Kung-Fu yang dibintangi oleh mendiang David Carradine pada tahun 1972, My Name is Shanghai Joe pada tahun 1972 dan sekuelnya Shanghai Joe pada tahun 1973, Tutti per uno... botte per tutti pada tahun 1973, El kárate, el Colt y el impostor yang dibintangi oleh Lee Van Cleef dan Lo Lieh pada tahun 1974 dan Shanghai Noon pada tahun 2000 yang dibintangi oleh Jackie Chan dan Owen Wilson.
Bezanya kalau sebelum ini biasanya filem-filem bercorak sushi western atau dumpling western ini akan menampilkan pelakon-pelakon Jepun atau Cina tetapi di dalam filem The Warrior's Way ia menampilkan pelakon Korea Selatan iaitu Jang Dong-gun. Jang Dong-gun memang tidak asing bagi penonton di Asia kerana beliau pernah muncul sebelum ini di dalam filem Shiri, Taegukgi dan sebuah filem epik terbitan Hong Kong berjudul The Promise. Di dalam filem ini beliau bergandingan bersama pelakon Jepun Hiroyuki Sanada dan pelakon jelita Hong Kong Cecilia Cheung.
The Warrior's Way mengisahkan seorang pembunuh bernama Yang dari kumpulan yang dikenali sebagai Sad Flutes perlu membunuh seorang pemain pedang ternama demi untuk menjadi seorang pemain pedang yang terhandal di dunia. Dia juga perlu menghapuskan semua keturunan dan ahli keluarga pemain pedang tersebut. Yang berjaya menghapuskan kesemua ahli keluarga pemain pedang itu dan yang tinggal hanyalah seorang bayi. Di saat Yang menghunus pedangnya untuk membunuh bayi tersebut, seakan ada suatu kuasa yang menghalang Yang untuk menghapuskannya. Akhirnya Yang mengambil keputusan untuk menjaga bayi tersebut.
Keengganan Yang untuk membunuh bayi itu telah diketahui oleh ahli kumpulannya menyebabkan kini Yang bersama bayi itu menjadi sasaran pembunuh. Yang kemudiannya membakar rumahnya bersama-sama harta bendanya dan pembunuhnya dan berlayar ke Amerika Syarikat untuk mencari sahabatnya yang juga merupakan bekas pembunuh. Di Amerika, Yang tiba di sebuah pekan kecil bernama Lode. Yang mendapat tahu sahabatnya yang dikenali sebagai Smiley di pekan ini telah mati tiga tahun yang lalu. Yang kemudian bertemu dengan Lynne yang merupakan rakan niaga Smiley dan Lynne mengajar Yang cara-cara untuk menguruskan kedai dobi. Yang cuba untuk melupakan masa silamnya dan kejahatannya yang lalu di pekan ini sebagai seorang peniaga, bagaimanapun dirinya sentiasa bertemu dengan masalah. Pekan Lode sebenarnya sering didatangi oleh seorang bekas kolonel yang gila yang sering datang untuk membuat kekacauan dan melarikan gadis-gadis di pekan itu. Sementara itu Yang juga tidak menyedari bahawa kejahatan yang ditinggalkan berbatu-batu jauhnya sedang dalam perjalanan memburunya.
Filem ini juga dibintangi oleh Geoffrey Rush, Kate Bosworth dan Danny Huston.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan