Isnin, 16 Mei 2011

Filem-filem blockbuster Mei hingga Disember 2011

Nur Kasih

Tarikh Tayangan: 19 Mei 2011

Lanjutan daripada drama bersiri Nur Kasih yang pernah disiarkan di TV3. Kali ini ia lebih fokus kepada kehidupan Nur, Adam dan Aidil. Filem yang pernah mencatatkan fenomena sebagai program TV paling popular dan mempunyai ramai penonton di Malaysia dan Singapura ini dijangka akan mencatatkan rekod luar biasa apabila ditayangkan di layar perak. Dibintangi oleh Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz dan diarahkan oleh Kabir Bhatia.


Cars 2

Tarikh tayangan: 25 Ogos 2011

Kereta lumba Lightning McQueen telah dipilih untuk menyertai World Grand Prix dan McQueen telah membawa trak penunda bernama Mater bersamanya. Secara kebetulan, Mater telah disyaki sebagai perisik Amerika Syarikat yang menyebabkannya terlibat dalam satu operasi pengintipan antarabangsa. Berbelah bagi antara membantu McQueen dalam perlumbaannya dan juga operasi pengintipan tersebut, Mater telah mengembara daripada Eropah ke Jepun. Menambah rencah filem animasi ini, para penonton akan diperkenalkan dengan beberapa watak baru dan juga kisah pengembaraan Mater yang mendebarkan. Filem ini menggunakan khidmat suara Owen Wilson, Michael Caine, Emily Mortimer, Michael Keaton, Jason Isaacs, Bonnie Hunt, John Ratzenberger dan Tony Shalhoub. Filem ini diarahkan oleh John Lasseter dan Brad Lewis.


Conan the Barbarian

Tarikh tayangan: 25 Ogos 2011

Kisah epik tentang pahlawan gasar kaum Cimmeria karya Robert E. Howard yang diberi sentuhan baru oleh Marcus Nispel. Watak Conan kali ini dibawakan oleh Jason Momoa yang dikenali sebagai Ronon Dex dalam siri TV Stargate: Atlantis. Filem terbaru Conan ini mengisahkan Conan yang memburu seorang ahli sihir dan pembunuh kejam bernama Khalar Zym yang telah membunuh penduduk kampung halaman Conan. Selain Jason Momoa filem ini dibintangi oleh Rachel Nichols, Stephen Lang, Rose McGowan, Bob Sapp, Steven O'Donnell, Ron Perlman, Nonso Anozie dan Saïd Taghmaoui.


The Hangover 2

Tarikh tayangan: 11 Ogos 2011

The Hangover 2 mengisahkan empat sekawan iaitu Phil, Stu, Alan dan Doug pergi ke Thailand untuk majlis perkahwinan Stu. Namun, sesuatu berlaku apabila mereka menjejakkan kaki di Thailand. Dibintangi oleh Bradley Cooper, Ed Helms, Zach Galifianakis, Ken Jiong, Liam Neeson, Justin Bartha dan Jamie Chung. Filem ini diarahkan oleh Todd Philips.


Piranha 3DD

Tarikh tayangan: 1 Disember 2011

Sekuel untuk filem Piranha 3D. Filem ini dibintangi oleh Ving Rhames, Danielle Panabaker, Matt Bush, Chris Zylka, David Koechner, Meagan Tandy, Paul James Jordan, Jean-Luc Bilodeau, Hector Jimenez, Adrian Martinez dan Clu Gulager. Diarahkan oleh John Gulager.


Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides
Tarikh tayangan: 19 Mei 2011

Filem lanun yang diselitkan unsur-unsur fantasi dan supernatural hebat ini kembali dengan sentuhan daripada pengarah Rob Marshall. Sebelum ini francais Pirates of the Caribbean diarahkan oleh Gore Verbinski. Plot kali ini mengisahkan lanun Jack Sparrow menjejaki sebuah tempat yang dikenali sebagai Fountain of Youth yang dikatakan mempunyai mata air yang boleh mengekalkan usia muda dan kehidupan abadi. Sementara itu musuh ketat Jack Sparrow iaitu Kapten Barbossa telah menjadi tali barut kerajaan British dan menjejaki Jack Sparrow untuk dipenjarakan di England. Dibintangi oleh pelakon asal iaitu Johnny Depp dan Geoffrey Rush, dibantu oleh Penélope Cruz, Ian McShane, Kevin McNally, Richard Griffiths, Stephen Graham, Greg Ellis, Damian O'Hare, Gemma Ward dan Sam Claflin.


Insidious

Tarikh tayangan: 19 Mei 2011

Filem seram arahan James Wan yang penuh dengan kejutan. Ia mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang dirundung malang apabila anak mereka telah jatuh koma akibat suatu kemalangan. Bagaimanapun beberapa perkara aneh berlaku di rumah yang dihuni mereka sejak anak mereka koma hingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke rumah lain. Namun peristiwa aneh dan menyeramkan itu masih berlaku dan mereka akhirnya meminta bantuan seorang pakar paranormal. Pakar tersebut menjelaskan bahawa segala aktiviti paranormal yang berlaku bukan disebabkan oleh rumah yang mereka duduki sebaliknya oleh anak mereka yang mampu berhubung dengan mahkluk ghaib sewaktu dalam keadaan koma. Dibintangi oleh Patrick Wilson, Rose Byrne, Barbara Hershey, Ty Simpkins, Lin Shaye, Andrew Astor, Leigh Whannell, Angus Sampson dan Philip Friedman.


Transformers: Dark of the Moon

Tarikh tayangan: 30 Jun 2011

Siri ketiga untuk filem sains-fiksyen aksi Transformers yang masih diarahkan oleh Michael Bay dan masih dibintangi oleh bintang Yahudi Shia LaBeouf. Turut bersama ialah Josh Duhamel dan Tyrese Gibson. Cuma kelibat Megan Fox tiada kali ini dan digantikan dengan Rosie Hutington-Whiteley. Plot kali ini mengisahkan pihak Autobots mengesan sesuatu di bulan yang mampu memberikan jawapan untuk Cybertron, bagaimanapun rahsia ini turut diketahui oleh pihak Decepticons. Dijangkakan filem ini adalah filem terakhir Transformers. Seperti biasa kumpulan modern rock Linkin Park akan menyumbangkan lagu untuk soundtrack filem Transformers. Kali ini lagu Iridescent menjadi lagu tema filem ini.


Captain America: The First Avenger
Tarikh tayangan: 28 Julai 2011

Sebuah lagi filem yang dihidupkan daripada watak komik Marvel iaitu Captain America dan juga menjadi permulaan untuk sebuah lagi filem superhero daripada komik Marvel iaitu The Avengers. Berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua, ia mengisahkan kerajaan Amerika Syarikat sedang berusaha mencipta sejenis serum yang mampu menjadikan seseorang itu mempunyai kekuatan luar biasa dan serum itu dikenali sebagai Super Soldier. Seorang anggota tentera bernama Steve Rogers telah dipilih untuk menjalani ujikaji serum tersebut. Setelah mendapat kekuatan luarbiasa, Steve Rogers dikenali sebagai Captain America dan bersama rakan sejawatnya Bucky Barnes, mereka diarahkan untuk menghapuskan seorang pegawai Nazi bernama Red Skull. Dibintangi oleh Chris Evans, Tommy Lee Jones, Hugo Weaving, Dominic Cooper, Neal McDonough, Derek Luke dan Stanley Tucci. Filem ini diarahkan oleh Joe Johnston.


Cowboys & Aliens

Tarikh tayangan: 11 Ogos 2011

Sebuah filem bercorak weird western arahan Jon Favreau dan diterbitkan oleh Steven Spielberg. Menariknya filem ini menggabungkan James Bond dan Indiana Jones. Pembawa watak James Bond, Daniel Craig dan watak Indiana Jones iaitu Harisson Ford dipertemukan dalam filem ini. Berdasarkan pada novel grafik dengan judul yang sama karya Scott Mitchell Rosenberg. Ia mengisahkan seorang lelaki bernama Jake Lonergan yang tersedar di sebuah gurun tanpa dapat mengingati kisah lampau tentang dirinya. Dia juga mendapati terdapat gelang aneh pada tangannya. Dia sampai ke sebuah bandar bernama Absolution dan mendapati bahawa dirinya adalah seorang penjenayah yang dikehendaki. Jake kemudian ditahan oleh seorang penguasa bernama Colonel Woodrow Dolarhyde yang mentadbir bandar itu secara kuku besi. Ketika Jake hendak dipindahkan daripada bandar itu, mereka telah didatangi oleh sesuatu yang luarbiasa. Filem ini turut dibintangi oleh Olivia Wilde, Sam Rockwell, Noah Ringer dan Clancy Brown.


KL Gangster

Tarikh tayangan: 9 Jun 2011

Filem aksi terbaharu daripada Syamsul Yusof. Menariknya kali ini ia menampilkan Soffi Jikan yang sinonim dengan filem-filem indie dan Mamat Khalid. Mengisahkan tentang dua adik beradik iaitu Malik dan Jai yang terjebak dalam dunia kongsi gelap. Malik telah ditangkap oleh pihak polis dan dipenjarakan selama lima tahun. Setelah dibebaskan, sikap Malik berubah dan tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kongsi gelap bagaimanapun dia tidak dapat menjauhkan kegiatan tersebut kerana adiknya Jai masih lagi aktif sebagai gangster. Pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Adi Putra, Adam Corrie, Ridzuan Hashim, Zizan dan Sheera Iskandar.


Green Lantern

Tarikh tayangan: 16 Jun 2011

Sebuah lagi filem berkonsepkan superhero yang diadaptasi daripada adiwira terbitan DC Comics. Mengisahkan tentang seorang juruterbang bernama Hal Jordan yang terjumpa sebuah pesawat makhluk asing yang terhempas. Apabila Hal Jordan menghampiri pesawat tersebut, dia mendapati makhluk asing di dalamnya masih hidup. Kerana mengetahui bahaya ajalnya sudah hampir, makhluk asing tersebut memberikan kepada Hal Jordan sebentuk cincin yang mempunyai kuasa luarbiasa. Apabila Hal Jordan memakai cincin tersebut, dia menjadi seorang lelaki dengan kuasa yang hebat. Tidak lama kemudian dia menyedari bahawa dia adalah sebahagian daripada pasukan yang dikenali sebagai Green Lantern Corps, iaitu sebuah pasukan yang dianggotai oleh makhluk daripada pelbagai galaksi. Dibintangi oleh Ryan Reynolds, Blake Lively, Mark Strong, Peter Sarsgaard dan Temuera Morrison. Filem ini diarahkan oleh Martin Campbell.


Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2

Tarikh tayangan: 14 Julai 2011

Kisah terakhir untuk siri Harry Potter yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya J.K. Rowling. Kali ini Harry Potter akan berdepan dengan musuhnya iaitu Lord Voldermort. Berjayakah Harry melaksanakan dendamnya membunuh Voldermort yang bertanggungjawab atas kematian ibu dan bapanya? Dibintangi oleh Bill Nighy, Timothy Spall, Daniel Radcliffe, Emma Watson, Rupert Grint, Ralph Fiennes, Gary Oldman, Helena Bonham Carter, Jason Isaacs, Tom Felton, Alan Rickman dan diarahkan oleh David Yates.


X Men: First Class

Tarikh tayangan: 2 Jun 2011

Kisah permulaan siri The X Men yang diadaptasi daripada komik The X Men terbitan Marvel Comics. Berlatarbelakangkan era 60'an sewaktu Perang Dingin, dua orang saintis iaitu Charles Xavier dan Erik Lensherr mendapati mereka memiliki sejenis kuasa luarbiasa. Bersama-sama, mereka cuba merungkaikan rahsia penemuan kuasa mereka itu dan mendapati bahawa bukan mereka sahaja yang memiliki kebolehan seperti itu. Mereka kemudian menjejaki satu persatu manusia yang dianugerahkan kebolehan tersebut yang digelar sebagai mutants. Dibintangi oleh James McAvoy, Michael Fassbender, Nicholas Hoult, Jenifer Lawrence, Kevin Bacon, January Jones, Rose Byrne, Jason Flemyng, Lucas Till dan diarahkan oleh Matthew Vaughn.


Super 8

Tarikh tayangan: 9 Jun 2011

Kolaborasi antara Steven Spielberg dan J.J. Abrams menghasilkan sebuah moster movie yang baru iaitu Super 8. Meskipun berkonsepkan seram, namun sentuhan kedua-duanya menghasilkan sebuah filem yang hebat. Ia mengisahkan tentang sekumpulan pelajar yang membuat suatu penggambaran untuk projek sekolah mereka sekitar tahun 70'an. Secara tiba-tiba sebuah kereta telah hilang kawalan dan terbabas ke atas jalan keretapi lalu dilanggar oleh sebuah keretapi barang lalu keretapi itu tergelincir dari landasan. Keretapi tersebut membawa sesuatu yang dirahsiakan oleh pihak tentera. Beberapa hari selepas kejadian tersebut, di sebuah bandar berhampiran kecoh dengan kehilangan haiwan ternakan dan peliharan dan juga manusia. Dibintangi oleh Kyle Chandler, Elle Fanning, Ron Eldard, AJ Michalka, Joel Courtney, Riley Griffiths dan Zach Mills.

Tiada ulasan: