Isnin, 28 Mac 2011

Motivasi diri dalam Sucker Punch


Kebebasan. Itulah kata kunci utama untuk filem Sucker Punch arahan Zack Snyder. Dan untuk mencapai kebebasan seseorang itu memerlukan pengorbanan dan kerjasama. Untuk mencapai matlamat (kebebasan) juga 5 elemen diperlukan (seperti The 5 Keys to Success dalam program motivasi). Di dalam filem ini 5 elemen itu ialah peta, api, pisau, kunci dan elemen kelima merupakan elemen misteri yang akan diketahui apabila ia diperlukan kelak.

Di dalam filem Sucker Punch, kebebasan memanglah plot utama. Pertama kebebasan kepada Baby Doll (lakonan Emily Browning) daripada ayah tirinya. Kedua, kebebasan daripada rumah pelacuran di dalam halusinasi Baby Doll dan ketiga, kebebasan daripada pusat rawatan jiwa yang sebenarnya lebih berpihak kepada Sweet Pea (lakonan Abbie Cornish) dengan pelan dan bantuan Baby Doll.

Yang menariknya, filem steampunk yang dianggap mengarut oleh sesetengah orang ini mempunyai falsafah motivasi yang mendalam, diungkapkan oleh seorang lelaki misteri dalam setiap fantasi dan halusinasi Baby Doll. Setelah aku fikirkan semula, aku rasa ungkapan-ungkapan motivasi ini sebenarnya diungkapkan oleh Dr. Gorski, kaunselor di pusat rawatan jiwa tersebut.

Itu sahaja yang aku dapat dalam filem ini sebenarnya. Yang lain-lain, seperti filem aksi CGI yang lain. Filem ini menonjolkan terlalu banyak kesan CGI sehingga aku merasakan seperti bermain permainan video. Bukan yang terbaik namun aku masih berpuas hati menonton filem ini.

Tiada ulasan: