Selasa, 1 Mac 2011

Filem tentang Rasulullah SAW

The Message atau dikenali juga sebagai Muhammad: Messenger of God adalah sebuah filem yang dihasilkan pada tahun 1976, merupakan filem biografi Rasulullah SAW yang dibikin menggunakan tenaga kerja daripada Hollywood walaupun filem ini sendiri mendapat tentangan daripada pihak produksi Hollywood.

Diarahkan oleh pengarah filem Syria iaitu Moustapha Akkad (yang kemudian dikenali untuk francais filem seram Halloween) sementara jalan cerita dan lakon layar ditulis oleh H.A.L. Craig, filem The Message dilakonkan oleh Anthony Quinn sebagai Hamzah bin Abdul Muttalib, ayah saudara kepada Rasulullah SAW.

Disebabkan oleh sekatan daripada pihak Hollywood dan kerajaan Amerika Syarikat, Moustapha Akkad terpaksa mencari dana daripada negara luar seperti Libya (dikatakan Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah membiaya sepenuhnya pembikinan filem ini) dan penggambaran juga dibuat di negara Libya dan Maghribi.

Jasad Rasulullah SAW tidak divisualkan begitu juga dengan kaum keluarga Baginda, para sahabat seperti Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abu Talib, Umar ibn Khattab dan Uthman ibn Affan.

Bagaimanapun, filem ini tetap mengundang kontroversi sewaktu hendak ditayangkan di Amerika Syarikat. Semuanya berlaku gara-gara salah faham di kalangan Muslim di Amerika yang menyangka bahawa Anthony Quinn melakonkan watak Muhammad SAW. Disebabkan kontroversi ini satu rusuhan berlaku di Washington D.C. membantah penayangan filem ini pada tahun 1977.

Meskipun filem ini agak kontroversi namun ia tetap dicalonkan untuk kategori Skor Muzik Terbaik di Academy Awards tahun 1977. Skor muzik filem ini dibikin oleh Maurice Jarre bagaimanapun tidak memperolehi kemenangan.

Baru-baru ini, Oscar Zoghbi melahirkan hasrat untuk membikin semula filem ini dengan teknologi baru sepeti CGI. Judul filem ini juga akan ditukar kepada The Messenger of Peace.

sumber: allmovie.com.

Tiada ulasan: