Rabu, 16 Mac 2011

Filem Hikayat Merong Mahawangsa menurut kacamata aku


Sebelum menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang, aku memekakkan telinga aku, mengelakkan dari membaca review tentang filem ini (walaupun aku pernah membaca review Fadz tentang filem ini) dan menghindari dari membincangkan tentang filem ini dengan kawan-kawan. Namun aku terdengar juga ada yang membandingkan filem ini dengan filem Queen of Langkasuka. Pedulikan semua itu kerana aku mahu menyaksikan filem tentang Raja Langkasuka ini dengan mata kepala ku sendiri.

Setelah menontonnya, secara keseluruhan aku berpuas-hati dengan buah tangan Yusry ini. Memang dia bersungguh-sungguh menghasilkan filem ini dengan ketelitiannya dan pengkajiannya, juga skrip oleh Amir Hafizi ini. Filem Hikayat Merong Mahawangsa
adalah antara filem Melayu yang cantik yang pernah aku tonton. Skor muzik untuk filem ini juga antara yang terbaik kerana menggunakan skor muzik original yang dipersembahkan oleh Orkestra Filharmonik Petronas tanpa perlu 'mencuri' skor muzik daripada filem antarabangsa. Begitu juga dengan set, props dan kostum di dalam filem ini yang dibuat begitu teliti sekali. Kegigihan Yusry dan krew pembikinan untuk menjayakan filem ini memang patut diberikan pujian.

Dari segi lakonan juga persembahan yang diberikan Dato' Hj Rahim Razali, Wan Hanafi Su dan Khir Rahman memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Bagitu juga dengan Mano Maniam walaupun muncul hanya sekejap sebagai pembesar di Goa pada awal cerita tetap menghiburkan. Aku juga menyukai lakonan Jing Lu sebagai Puteri Meng Li Hua yang lebih berkesan malahan pertuturannya dalam bahasa Melayu juga lebih bagus daripada Stephen Rahman Hughes yang memegang watak sebagai Merong Mahawangsa yang kelihatan agak kekok berbahasa Melayu meskipun mempunyai darah keturunan Melayu.

Dari segi aksi pertarungan memang agak menarik meskipun terdapat pengaruh daripada filem-filem Thailand dan Hong Kong. Terdapat memorable moment dalam filem ini sewaktu babak pedang yang dibaling oleh Laksamana China Liu Yun (lakonan Craig Fong) ke arah penjahat bernama Kamawas (lakonan Khir Rahman) dalam gerak perlahan dan melalui pedang tersebut ternampak refleksi Puteri Meng Li Hua yang bagi pendapat aku merupakan imej janaan CGI yang begitu cantik sekali.

Akhir sekali, filem Hikayat Merong Mahawangsa agak berbaloi untuk ditonton dan terus terang aku katakan aku agak berbangga dengan penghasilan filem epik swashbuckler Melayu ini. Semoga filem ini membuka jalan dan menjadi cabaran kepada pengarah filem Melayu lain untuk menghasilkan filem Melayu yang berkualiti seperti ini. Terdapat dua buah filem Melayu lain yang berada dalam wishlist untuk aku tonton iaitu filem terbaru arahan U-Wei iaitu Hanyut dan Bunohan, sebuah filem aksi tentang pertarungan tomoi. Sebelum filem Hikayat Merong Mahawangsa bermula aku telah menyaksikan dua buah trailer filem tempatan yang akan ditayangkan dan aku pasti akan mencatatkan kutipan pecah panggung iaitu Nur Kasih The Movie arahan Khabir Batia dan sebuah filem seram arahan Yusry KRU iaitu Karak.

Tiada ulasan: