Ahad, 6 Februari 2011

Urbanisasi dan kekolotan

Dan tidak ada sebab bagi kamu,(yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas. - AL-AN'AAM: 119


Mungkin kepada Melayu Urban, aku dianggap kolot. Namun aku tidak kisah. Biarlah aku dianggap kolot asalkan aku tidak menghampiri perkara-perkara syubhah.

Mungkin aku dianggap kolot kerana enggan memasuki restoran yang hanya menggantungkan papan tanda pork free. Aku pun tidak pasti apakah maksud pork free itu, adakah bebas babi ataupun babi percuma? Sesuatu yang aku pasti, pork free tidak semestinya ia halal, tambahan pula tiada pengesahan halal daripada pihak yang berkuasa seperti JAKIM ataupun Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri.

"Ala, apa la kau ni. Restoran ni pork free la, orang Melayu boleh masuk punya," kata seorang Melayu Urban kepada aku. Aku tidak nafikan orang Melayu memang tiada masalah untuk makan/minum di restoran yang bebas babi atau babi percuma namun bagi orang Islam masih belum pasti lagi.

Juga maafkan aku atas keengganan meminum kopi champagne walaupun aku tahu ia memang kopi. "Benda ni kopi la, nama je kopi champagne sebab berbuih-buih," kata Melayu Urban itu lagi. Seingat aku sewaktu bersekolah dahulu, Ustaz di sekolah pernah berpesan jangan menyamakan sesuatu yang halal dengan yang haram kerana ia boleh jatuh haram. Kenapa tak tukar nama kalau ia sesuatu yang halal? Kenapa harus dinamakan dengan sesuatu yang haram? Sedangkan nama kuih yang menjijikkan seperti cucur kodok dan tahi itik juga telah ditukar nama.

Aku terkesima apabila mendengarkan penjelasan si Melayu Urban bila ditanyakan tentang perbuatan mencampur alkohol dalam masakan. "Kita gunakan alkohol itu sebagai bahan api, untuk membakar makanan tersebut. Apabila alkohol telah dibakar, kandungan alkohol itu sudah hilang, maka kita bolehlah makan. Apa nak disusahkan, bergantung pada hati masing-masing, kalau rasa boleh makan, kita makanlah."

Begitu rupanya cara Melayu Urban berfikir. Mudahnya.

1 ulasan:

Abang Ben berkata...

bagus dan cantik pegangan anda!