"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota- anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." - Surah al-Isra' Ayat 36.
Sambutan Valentine Day atau Hari Kekasih jatuh pada 14 Februari setiap tahun.
Dahulunya hari ini cuma disambut di negara-negara barat tetapi sekarang sambutan Hari Valentine juga telah dirayakan di Malaysia.
Lazimnya pada Hari Valentine para remaja dan juga para kekasih akan menghantar kad ucapan, berpesta, tukar menukar hadiah dan memberikan sekuntum atau sejambak bunga kepada kekasih dan orang yang dicintai.
Hukum menyambut Hari Valentine oleh orang Islam telah pun dibincangkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang telah bersidang pada 22 - 24 November 2005.
Muzakarah telah memutuskan bahawa acara menyambut Hari Valentine bertentangan dengan ajaran agama Islam meskipun alasan untuk menyambut Hari Valentine dikatakan sebagai hari memperingati kekasih dan berkasih sayang.
Keputusan ini dibuat berdasarkan amalan menyambut Hari Valentine yang boleh membawa kepada aktiviti maksiat dan gejala sosial di samping sejarah Hari Valentine yang mempunyai unsur-unsur agama Kristian.
Menurut sejarah, pada 14 Februari 270 Masehi, seorang paderi Kristian bernama St. Valentine telah dihukum bunuh kerana menentang Raja Rome yang memerintah ketika itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270M).
Keberanian St. Valentine menentang raja demi untuk mempertahankan haknya telah dianggap sebagai satu keberanian dan disanjung tinggi oleh pengikutnya.
Demi untuk mengenang keberanian St. Valentine dan juga untuk menangisi kematian St. Valentine, 14 Februari telah dijadikan upacara keagamaan oleh penganut-penganut Kristian.
Bagaimanapun, upacara keagamaan itu beransur-ansur hilang dan menjadi seperti suatu tradisi. Hari Valentine kemudian dikaitkan pula dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang dipanggil supercalis pada tanggal 15 Februari.
Upacara tradisi ini dihubungkaitkan dengan sambutan Hari Valentine apabila bangsa Romawi kuno menganut agama Kristian, menjadikan secara rasmi 14 Februari dikenali sebagai Hari Valentine.
Oleh itu, kepada sesiapa yang beragama Islam tetapi mengamalkan sambutan Hari Valentine pada 14 Februari eloklah meninggalkannya kerana telah jelas sambutan Hari Valentine ini adalah khusus kepada penganut Kristian sahaja.
Sumber: Majalah Milenia Muslim edisi Februari 2011.
Untuk membaca fatwa mengenai hukum orang Islam menyambut Hari Valentine boleh klik sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan