Jumaat, 18 Februari 2011

Hukum bertindik bagi lelaki dan menonton video pornografi


Bertindik merupakan amalan khas bagi golongan wanita untuk tujuan kecantikan dan perhiasan. Lazimnya, wanita bertindik di bahagian telinga untuk dipakaikan anting-anting. Namun, Islam tidak menggalakkan wanita bertindik secara berlebihan bagi mengelakkan fitnah dan kesan terhadap kesihatan.

Lelaki pula dilarang menyerupai wanita dalam perihal perhiasan, sebagaimana hadis Ibnu Abbas, "Rasulullah SAW melaknat orang yang menyerupai wanita daripada kalangan laki-laki dan orang yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita." (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, hukum lelaki bertindik adalah haram. Lelaki yang bertindik dalam keadaan dia tahu hukumnya dan berterusan memakainya walau sudah ditegur dihukumkan fasik kerana berterusan melakukan dosa-dosa besar kerana menyerupai wanita.



Seorang yang melihat gambar lucah dan pornografi termasuk dalam golongan yang melakukan dosa-dosa besar kerana perbuatan itu mendorongnya melakukan perkara maksiat seperti zina, rogol dan cabul.

Hadis Rasulullah SAW menyebut: "Dua mata yang berzina (saling bertentangan mata), telinga berzina (saling dengar pujuk rayu), lidah berzina (cakap-cakap), zina tangan (berpegangan), zina kaki (melangkah pergi berjumpa), zina hati (keinginan dan khayal seks) dan yang membenarkan semua zina anggota itu ialah zina kemaluan."

Hadis ini menjelaskan zina yang terbahagi kepada pelbagai tafsiran. Seseorang yang gemar ke arah pornografi dikhuatiri mengalami keinginan dan khayalan seks dan timbul zina hati. Dibimbangi akan menjerumuskan seseorang ke lembah zina.

Allah menjanjikan azab dan balasan bagi golongan penzina ini. Berkata Ibnu Abbas: "Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina". (Hadis Riwayat Bukhari di awal kitab Hudud, Fathul Bari 12:58-59)

Islam amat menjaga akhlak dalam kehidupan. Hindarilah perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah kerana terpedaya dengan nikmat dunia yang sementara dan mengundang kecelakaan di akhirat.

Dicuplik dari Ruangan Soal Jawab Agama Bersama Jakim, akhbar Kosmo! untuk manfaat bersama.

Tiada ulasan: