Selasa, 18 Januari 2011

Bewitched - Nostalgia Allahyarham Hussein Abu Hassan


Bagi generasi baru, filem Bewitched mungkin tidak diketahui, malahan mungkin akan tersalah sangka dengan filem komedi keluaran 2005 lakonan Will Ferrell dan Nicole Kidman.

Sebenarnya Bewitched merupakan sebuah filem seram keluaran Hong Kong tahun 1981. Filem arahan Kuei Chih Hung ini agak istimewa kerana menampilkan pelakon legenda Malaysia, Allahyarham Hussein Abu Hassan sebagai watak utama iaitu bomoh.

Filem ini bermula dengan satu aedgan yang mengejutkan apabila sebuah keluarga yang sedang berkelah di sebuah desa menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan. Kepala kanak-kanak itu ditusuk sebatang paku yang panjang.

Seorang detektif bernama Bobby berjaya menangkap pembunuh kanak-kanak tersebut yang merupakan ayah kandungnya sendiri. Lelaki itu yang bernama Lin mendakwa dia melakukan pembunuhan itu ketika sedang dirasuk, bagaimanapun kenyataan tersebut ditolak oleh pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman mati.

Sebelum hukuman dilaksanakan, Bobby telah bertemu dengan Lin di penjara dan Lin menceritakan sesuatu kepada Bobby. Lin memberitahu segalanya bermula ketika Lin berkunjung ke Thailand dan telah melakukan suatu perkara sumbang dengan gadis tempatan, mengakibatkan dia disumpah oleh seorang bomoh.

Bobby mempercayai cerita Lin dan pergi ke Thailand untuk meminta bomoh berkenaan menghapuskan sumpahan ke atas Lin. Malangnya, dengan berbuat begitu, Bobby telah menjadi sasaran dan diancam dengan ilmu hitam oleh bomoh tersebut.

Selain daripada Hussein Abu Hassan, filem ini turut dibintangi oleh Fei Ai, Lap Ban Chan, Lily Chan dan Miao Ching. Filem ini sesuai bagi mereka yang meminati filem seram klasik daripada Hong Kong.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini ada bahasa melayu nya ya