Muzik paling berpengaruh di dunia, rock 'n' roll berasal dari irama gendang Afrika yang berpadu dengan melodi rakyat di Eropah kemudian diadunkan di Amerika. Melalui media seperti piring hitam, stesen radio, video muzik dan televisyen, irama yang dahulunya hanyalah irama gendang yang berasal dari sebuah perkampungan di Nigeria kini telah menjadi suatu muzik yang popular di kalangan masyarakat Barat dan seterusnya disebarkan ke seluruh dunia.
Berjuta-juta orang lelaki, wanita dan kanak-kanak Afrika telah dibawa ke 'Dunia Baru' oleh pedagang-pedagang Barat sebagai hamba abdi ke Amerika dan Eropah. Kapal-kapal yang membawa hamba abdi ini tidak mempunyai bilik yang cukup untuk menampung jumlah hamba yang ramai maka mereka terpaksa meninggalkan barangan mereka di kampung halaman mereka. Pemilik-pemilik hamba percaya sekiranya mereka membuang kepercayaan dan tradisi hamba-hamba, lebih mudah bagi mereka untuk mengawal dan menerapkan budaya dan tradisi Barat di kalangan hamba-hamba ini. Bagaimanapun, adalah mustahil untuk membuang ritma dan mentera sesuatu kaum dan hamba-hamba ini telah menjadikan irama-irama tersebut sebagai lagu yang dinyanyikan sewaktu mereka bekerja di ladang-ladang.
Irama-irama ini dimainkan menggunakan tiga jenis gendang puak Yoruba yang terdapat di wilayah tengah dan barat Afrika. Gendang-gendang Yoruba ini terdapat tiga jenis, yang boleh disifatkan sebagai satu keluarga kerana terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Gendang yang paling besar dikenali sebagai iya disifatkan sebagai gendang bapa. Gendang yang sederhana besar (itotele) merupakan gendang ibu dan gendang yang terkecil juga mempunyai nada yang tertinggi dikenali sebagai okonkolo atau gendang anak. Gendang bapa mengetuai keluarga menetapkan perubahan dalam ritma dan mengetuai 'perbualan'. Gendang ibu bermain satu corak tetap sehingga gendang bapa merubahnya. Akhir sekali gendang anak akan memainkan satu corak tetap dan berulang. Gendang-gendang ini mewujudkan suatu ritma berkumpulan, dengan gendang induk menarik pada rentak yang mencipta satu irama yang menenangkan. Sementara gendang anak pula terus bermain di atas rentak yang dicipta oleh gendang induk. Tiga gendang ini kemudian menjalani proses evolusi membentuk set gendang moden yang mengandungi gendang bes (bass drum), gendang senar (snare drum) dan gendang tom (tom-tom drum).
Hamba-hamba yang berasal dari wilayah Afrika Barat yang beragama Islam telah membawa bersama mereka irama Arab yang diadun bersama irama suku Afrika. Irama ini melibatkan gendang bes dalam, menepuk tangan secara berirama dan sejenis rentak yang dipanggil saut yang kemudiannya digunakan dalam bahasa Inggeris sebagai shout (berkemungkinan juga perkataan sahut dalam bahasa Melayu berasal dari tradisi ini).
Hamba-hamba abdi yang pada asalnya menganut agama Islam akan mempersembahkan saut dengan membentuk satu bulatan dan kemudian mereka akan bertepuk tangan dan menyanyikan lagu-lagu tradisi mereka.
Sumber: Rock On! The Rock 'n' Roll Greats karya Colin King.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan