Khamis, 4 November 2010

Kanibalisme dalam Rumah Dara


Filem seram dari Asia Tenggara lazimnya akan mengutarakan kisah supernatural dan berkisarkan kepada kisah-kisah mistik dan amalan ilmu hitam.

Ini dapat dilihat dengan kemunculan filem-filem seperti Kuntilanak, Pocong, Jangan Pandang Belakang, Art of the Devil dan sebagainya.

Namun sejak kebelakangan ini, mungkin suatu perkembangan atau mungkin juga kerana kebosanan penonton yang sudah muak dengan filem-filem yang menampilkan hantu perempuan berpakaian putih dan berambut panjang, filem-filem seram dengan stail baru mula dibikin.

Filem-filem seperti 13 Beloved, Blackbirds at Bangpleng, Air Terjun Pengantin, Pintu Terlarang misalnya cuba untuk lari dari imej filem-filem hantu yang menjadi kelaziman filem seram di Asia Tenggara.

Rumah Dara atau dikenali dengan nama Macabre untuk pasaran antarabangsa merupakan filem seram terbaharu keluaran Indonesia. Filem ini dibintangi oleh aktres yang agak sinonim dengan filem-filem seram Indonesia iaitu Julie Estelle (mungkinkah pengganti Suzanna?) dan diarahkan oleh Kimo Stamboel dan Timo Tjahjanto. Filem ini merupakan lanjutan daripada filem pendek Dara yang diarahkan oleh pengarah yang sama.

Ia mengisahkan beberapa orang rakan baik yang telah bermalam di sebuah rumah. Mereka telah disambut dan diberikan layanan baik oleh tuan rumah yang bernama Dara. Dara telah mencampurkan dadah ke dalam makanan mereka menyebabkan mereka tidak sedarkan diri. Apabila tersedar mereka mendapati diri mereka diikat dan mengetahui bahawa tuan rumah dan keluarganya adalah kanibal.

Khabarnya filem ini telah diharamkan di Malaysia akibat terlalu ganas manakala ia dikategorikan M18 untuk tayangan di Singapura. Filem ini juga turut diedarkan ke Amerika Utara dan Eropah.

WEBSITE DAN TRAILER RUMAH DARA

1 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

best best... biar banyak gore!