Rabu, 13 Oktober 2010

Sentuhan Hollywood A.R. Rahman


A.R. Rahman boleh mendabik dada sekarang kerana kini beliau telah pun sebaris dengan komposer-komposer filem di Hollywood.

Meskipun tidak setaraf John Williams namun beliau boleh berbangga kerana namanya kini seiring Hans Zimmer dan Danny Elfman.

Nama beliau mula disebut apabila menjadi pengarah muzik untuk persembahan teater muzikal Bombay Dreams yang diterbitkan oleh Andrew Lloyd Webber pada tahun 2002.

Kemudian A.R. Rahman terlibat sebagai komposer untuk filem epik Lagaan yang dibintangi oleh Aamir Khan. Album soundtrack filem ini telah menduduki tempat ke-44 untuk The 100 Greatest World Music Albums of All Time oleh Amazon.com.

Khidmat A.R. Rahman juga telah digunakan oleh produksi China untuk filem Warriors of Heaven and Earth di mana dalam filem ini, muzik latar yang digunakan begitu unik sekali kerana ia menggabungkan seni muzik China, India dan Asia Barat.

Pada tahun 2006, filem Inside Man arahan Spike Lee telah menyertakan lagu Chaiya Chaiya (lagu asal untuk filem Dil Se lakonan Shah Rukh Khan) sebagai runut bunyi untuk filem tersebut. Lagu ini boleh didengari sewaktu kredit pembukaan filem manakala pada akhir filem versi remix untuk lagu ini boleh didengari.

A.R. Rahman mula terlibat untuk produksi Hollywood menerusi filem Elizabeth: The Golden Age arahan Shekhar Kapur pada tahun 2007. Untuk filem ini beliau bekerjasama dengan komposer Craig Armstrong.

Khidmatnya digunakan untuk filem Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle pada tahun 2008 yang mana telah menjulang namanya. Menerusi filem ini A.R. Rahman telah meraih beberapa anugerah seperti Best Original Score dan Best Original Song pada Academy Awards 2008, Best Film Music pada BAFTA Awards 2008 dan Best Original Score pada Golden Globe Awards 2008. Album soundtrack filem ini juga telah memenangi dua anugerah di Grammy Awards 2008.

Pada tahun 2009, sentuhannya telah diguanakan untuk filem komedi Couples Retreat dan dicalonkan untuk Academy Awards 2009 bagaimanapun tidak berjaya meraih sebarang anugerah.

Kini beliau akan bekerjasama sekali lagi dengan pengarah Danny Boyle selepas kejayaan Slumdog Millionaire. 127 Hours, sebuah filem thriller yang berdasarkan kisah benar akan menggunakan sentuhan uniknya.

127 Hours mengisahkan tentang seorang pendaki gunung bernama Aron Ralston (lakonan James Franco) yang terperangkap di atas gunung di Utah selama 127 jam.


TRAILER 127 HOURS

1 ulasan:

Abang Ben berkata...

dasat bollywood sekarang