Isnin, 19 Julai 2010

Inilah dia


Aku bukanlah seorang peminat Michael Jackson, bukan juga pembencinya. Ada lagu-lagunya yang boleh aku terima dan ada yang sekadar didengari umpama angin yang bertiup, singgah menyejukkan tubuh dan terus berlalu.

Namun, isteriku adalah peminat Michael Jackson dan kerana itu aku telah meminjam DVD This Is It untuk tontonan kami berdua dan aku akui, aku mengagumi komitmen yang diberikan oleh MJ di dalam filem ini.

Sepanjang raptai, tidak lansung kedengaran suara MJ ataupun Kenny Ortega memaki atau mencaci kru-kru persembahan setiap kali kesilapan berlaku. Berbeza dengan suasana yang pernah dipaparkan untuk sesuatu persembahan artis tempatan (e.g Mentor) di mana kata-kata yang agak kesat dan kasar dilontarkan seandainya berlaku kesilapan atau kesalahan. Baru aku sedar orang kita ni kasar rupanya.

This Is It merupakan rakaman sewaktu 'rehearsal' untuk konsert Michael Jackson yang berjudul This Is It. Konsert mega itu sepatutnya berlansung pada 13 Julai 2009 di London, England namun terpaksa dibatalkan akibat kematian penyanyi pop tersohor itu pada 25 Jun 2009.

Rakaman raptai konsert tersebut yang kebetulan dibuat sebagai dokumentari untuk slot 'the making of' dijadikan sebuah filem oleh pihak produksi Michael Jackson Company dan juga Columbia Pictures dan dikhususkan kepada peminat-peminat MJ sebagai 'buah tangan terakhir' dari mendiang.

Filem ini diarahkan oleh Kenny Ortega yang juga merupakan pengarah bersama untuk konsert This Is It Michael Jackson.

Antara kejutan dan gimik yang sepatutnya dijayakan sewaktu konsert sebenar ialah sewaktu permulaan konsert, di mana MJ akan keluar daripada imej seorang angkasawan yang dibentuk secara 3D.

Juga antara yang menarik ialah di mana gabungan MJ bersama filem klasik Gilda untuk babak pengenalan lagu Smooth Criminal.

Juga turut dimuatkan pembikinan video klip Thriller yang dibuat dalam 3D. Video klip ini akan dipaparkan pada skrin lebar sewaktu MJ mempersembahkan lagu Thriller pada konsert sebenar.

Daripada raptai ini aku dapat membayangkan, seandainya MJ ditakdirkan hidup dan berkesempatan menjayakan konsert tersebut, sudah pastilah ia akan menjadi sebuah konsert yang paling hebat pernah diadakan oleh mendiang.

Rest in peace Michael Jackson.

Tiada ulasan: