Selasa, 15 Jun 2010

The A Team yang tidak aku kenali

Setelah menonton filem The A Team, perasaan aku bercampur-campur. Antara seronok, bengang dan kecewa. Seronok kerana sekurang-kurangnya aksi dalam filem ini antara yang terbaik (mengikut pendapat aku) dalam tahun ini. Namun aku sedikit bengang dan kecewa kerana The A Team yang aku tonton ini bukanlah seperti The A Team yang aku kenali lebih 20 tahun dahulu.

Kepada generasi yang lahir di pertengahan tahun 70'an dan membesar di era 80'an pastilah mengenali siri-siri TV seperti BJ and the Bear, Chips, Dallas, Battlestar Galactica, MacGyver dan sebagainya. The A Team juga merupakan sebuah siri TV yang agak popular pada era 80'an.

Siri TV The A Team diterbitkan dan ditulis oleh Stephen J. Cannell. Banyak siri TV yang diterbitkan oleh Stephen J. Cannell menjadi kegemaran aku seperti Baa Baa Black Sheep, Greatest American Hero, WiseGuy, 21 Jump Street, Hardcastle and McCormick dan Hunter.

Stephen J. Cannell merupakan penerbit yang agak produktif ketika itu selain Glen A. Larson dan Aaron Spelling. Aku agak menyampah dengan siri-siri terbitan Glen A. Larson yang aku rasa agak 'skema' meskipun siri-siri TV terbitannya juga agak popular seperti Chips, Battlestar Galactica, Knight Rider, Six Million Dollar Man dan sebagainya.

Kini Stephen J. Cannell tidak lagi menerbitkan siri-siri TV tetapi telah menjadi seorang penulis novel. Antara novel terlarisnya ialah novel bersiri penyisatan detektif Shane Scully iaitu The Tin Collectors, The Viking Funeral, Hollywood Tough dan Cold Hit. Filem The A Team merupakan filem terbaharu dan yang pertama diterbitkannya untuk tahun 2010.

Menerusi siri-siri The A Team, kita diberitahu bahawa The A Team yang terdiri daripada Kolonel John 'Hannibal' Smith, Leftenan Templeton 'Faceman' Peck, Kapten 'Howling Mad' Murdock dan Sarjan Bosco Albert B. A (Bad Attitude) Baracus merupakan bekas askar elit yang pernah berkhidmat di Vietnam namun dipenjarakan untuk kesalahan yang tidak mereka lakukan. Keempat-empat mereka melarikan diri dari penjara tentera dan berkhidmat sebagai askar upahan dan penyiasat persendirian meskipun masih dalam buruan pihak berkuasa.

Di dalam filem The A Team, ia mengisahkan daripada awal bagaimana keempat-empat anggota The A Team bertemu iaitu ketika melaksanakan suatu misi di Mexico. Mereka kemudian menjadi satu kumpulan dan telah berjaya menyelesaikan 80 misi selama 8 tahun sehinggalah mereka berkhidmat di Iraq. Ketika menjayakan suatu misi 'sulit', keempat-empat mereka telah dianiaya dan dipenjarakan.

Watak-watak dalam filem The A Team ini ternyata agak asing bagi aku walaupun ia merupakan watak asal yang terdapat dalam siri The A Team. Hannibal di dalam filem ini kelihatan terlalu tegas, berbeza dengan watak Hannibal yang dilakonkan oleh mendiang George Peppard yang kelihatan lebih 'main-main'. Cuma yang menyamakan watak ini adalah kepintaran Hannibal mengatur strategi, gemar menghisap cerut dan frasa "I love it when a plan comes together."

Begitu juga dengan watak-watak seperti Faceman dan BA Baracus yang kelihatan seperti hendak meniru watak asal di dalam siri The A Team, cuma watak Murdock yang dilakonkan oleh Sharlto Copley yang aku rasakan agak sama dengan watak Murdock yang pernah dilakonkan oleh Dwight Schultz.

Tiada ulasan: