Selasa, 9 Mac 2010

Makhluk asing gagal meraih oskar filem terbaik

Kathryn Bigelow dan mereka yang terlibat untuk filem The Hurt Locker

Dua buah filem yang berlatarkan makhluk asing iaitu Avatar dan District 9 gagal memenangi anugerah Filem Terbaik di Anugerah Akademi ke-82 sebaliknya ia dimenangi oleh filem berlatarkan peperangan Iraq, The Hurt Locker arahan Kathryn Bigelow.

The Hurt Locker telah menewaskan tujuh filem lain yang dicalonkan selain Avatar dan District 9 iaitu The Blind Side, An Education, Inglorious Basterds, Precious: Based on the Novel 'Push' by Sapphire, A Serious Man, Up dan Up in the Air.

Kathryn Bigelow juga berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik menewaskan James Cameron, Lee Daniels, Jason Reitman dan Quentin Tarantino.

Bagi aktor Jeff Bridges, beliau memenangi anugerah Aktor Terbaik menerusi filem Crazy Heart manakala aktress Sandra Bullock yang telah diisytiharkan sebagai Pelakon Terburuk dalam anugerah Golden Raspberry baru-baru ini dianugerahkan pula Aktres Terbaik menerusi lakonannya untuk filem The Blind Side.

Christoph Waltz yang berjaya membawakan watak negatifnya sebagai Kolonel Hans Landa menerusi filem Inglorious Basterds berjaya meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dimenangi oleh Mo'nique menerusi filem Precious: Based on the Novel 'Push' by Sapphire.

The Hurt Locker sekali lagi memenangi oskar untuk kategori Lakon Layar Asal Terbaik manakala untuk kategori Lakon Layar Adaptasi Terbaik dimenangi oleh Precious: Based on the Novel 'Push' by Sapphire.

Filem Animasi Terbaik dimenangi oleh filem Up dan Filem Bahasa Asing Terbaik dimenangi oleh filem El Secreto de Sus Ojos dari Argentina.

Untuk Skor Filem Terbaik ia dimenangi oleh Michael Giacchino (Up) manakala untuk kategori Lagu Terbaik dalam Filem ia dimenangi oleh Ryan Bingham dan T-Bone Burnett untuk lagu The Weary Kind, lagu tema filem Crazy Heart.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Anugerah Akademi ke-82, anda boleh klik sini.

Tiada ulasan: