Isnin, 14 Disember 2009

Tengah tunggu Jonah Hex

Menurut berita yang baru aku dengar, filem weird western Jonah Hex mungkin akan ditayangkan di Malaysia tahun depan, dan aku sebagai penggemar genre weird western sudah pastilah ternanti-nanti akan filem ini.

Jonah Hex merupakan adaptasi daripada komik DC dengan judul yang sama, mengisahkan seorang pegawai tentera Konfederasi (tentera Amerika Syarikat untuk posisi Selatan sewaktu Perang Saudara Amerika Syarikat tahun 1861 - 1865) yang mengalami kemurungan akibat peperangan. Jonah Hex juga mengalami kecederaan menyebabkan separuh mukanya berparut (di dalam komik disebabkan pengalaman masa lampaunya menyelamatkan seorang ketua puak Apache daripada serangan singa gunung).

Setelah perang tamat, Jonah Hex menjadi pemburu penjenayah dan sering bertemu dengan penjenayah bukan sahaja dari kalangan manusia bahkan dari golongan jembalang seperti pontianak, serigala jadian dan zombie.

Seorang lelaki bernama Quentin Turnbull telah menyimpan dendam kesumat terhadap Jonah Hex dan bersumpah akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Jonah Hex tidak akan hidup aman di dunia ini.

Turnbull mendakwa bahawa Jonah Hex adalah penyebab kematian anaknya sewaktu Perang Saudara Amerika Syarikat.

Menurut sinopsis yang ditulis dalam laman-laman web filem, Quentin Turnbull di dalam filem ini adalah seorang pengamal sihir vodoo dan telah menghidupkan kembali tentera-tentera Konfederasi yang telah mati untuk membuat kekacauan dan membunuh Jonah Hex.

Bagaimanapun sinopsis ini disangkal oleh pengarah filem ini iaitu Jimmy Hayward dan mengatakan bahawa watak Turnbull yang dibawakan oleh John Malkovich itu adalah sebagai seorang pengganas yang kecewa atas kekalahan pihak Konfederasi dan membentuk tenteranya sendiri untuk menentang kerajaan.

Filem ini dibintangi oleh Josh Brolin, John Malkovich, Megan Fox, Michael Shannon, Michael Fassbender dan Will Arnett. Filem ini diarahkan oleh Jimmy Hayward, seorang animator yang sebelum ini banyak terlibat dengan filem-filem animasi seperti Finding Nemo, Toy Story, Robots dan Horton Hears a Who!

Menariknya, muzik dan soundtrack untuk filem ini dipersembahkan oleh kumpulan metal Mastodon, Abang Ben mesti suka!


BLOG JONAH HEX

1 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

alamak... MASTODON! Ni je dah cukup untuk aku tonton filem ni!