Selasa, 10 November 2009

Kiamat dari kacamata seorang atheist

Pawagam akan digegarkan dengan filem bencana terbaharu arahan Roland Emmerich berjudul 2012. Menariknya filem bencana Emmerich kali ini akan memberikan gambaran bagaimanakah keadaan dunia pada hari Kiamat sedangkan Emmerich sendiri merupakan seorang atheist, tiada kepercayaan agama. Dan Kiamat yang dikatakan berlaku pada tahun 2012 ini berdasarkan ramalan kuno kaum Maya, menyatakan bahawa dunia akan berakhir pada tahun 2012.

Sedangkan dalam Islam kita sendiri tahu bahawa bilakah berlakunya Kiamat tidak dapat dipastikan, namun Allah telah memberikan panduan iaitu beberapa tanda ataupun petunjuk bahawa Kiamat hampir akan berlaku. Dan setakat ini kebanyakan tanda-tanda kecil Kiamat menghampiri telah pun kita nampak, hanya menunggu tanda-tanda besar sahaja.

Emmerich juga menimbulkan kontroversi apabila tidak 'meranapkan' Kaabah dan kota suci Mekah dalam filem ini walaupun dia berkata keinginannya untuk berbuat begitu. Di dalam filem 2012 beberapa tempat ibadat dan dianggap suci seperti gereja di Vatican City, patung Nabi Isa di Brazil dan kuil sami Buddha di Tibet 'dimusnahkan' kecuali Mekah kerana bimbang akan fatwa yang akan dijatuhkan kepadanya jika berbuat demikian. Tindakan Emmerich ini telah menjadi perdebatan hangat di laman-laman forum dan ramai yang menuduh Emmerich pengecut kerana tidak berbuat demikian.

Filem 2012 juga menyebabkan pihak NASA terpaksa mengadakan suatu kempen untuk menafikan bahawa dunia akan musnah pada tahun 2012. Ini berdasarkan khabar angin tentang sebuah planet bernama Planet X atau Nibiru yang sedang dalam perjalanan menuju ke arah bumi dan dijangka akan berselisih dengan atmosfera bumi pada tahun 2012.

Planet misteri itu dikatakan ditemui oleh kaum Sumeria, menurut peminat dan pengkaji paranormal dan penyiasat teori Internet. Sesetengah laman web menuduh NASA menyembunyikan kebenaran tentang wujudnya planet itu, bagaimanapun pihak NASA mengecam tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai cerita palsu Internet.

"Tiada fakta yang sahih untuk tuduhan ini," pihak NASA menyatakan dalam laman webnya. "Jika planet itu menghampiri bumi dan perlanggaran tersebut akan berlaku, ahli-ahli astronomi pasti telah menjejakinya dan ia akan dapat dilihat dengan mata kasar, nyata ia tidak wujud."

"Ahli-ahli sains di seluruh dunia tahu tiada ancaman pada tahun 2012," menurutnya lagi. "Lagipun, planet kita dalam keadaan baik untuk lebih daripada empat bilion tahun."

Terdapat sebuah planet yang lain bernama Eris, sedang terapung-apung di ruang angkasalepas. Bagaimanapun planet kerdil yang menyerupai planet Pluto ini akan kekal di luar sistem suria dan ia cuma akan menghampiri bumi tidak lebih daripada empat bilion batu (6.4 bilion kilometer) dari bumi, menurut pihak NASA.

Topik-topik dunia akan mengalami kemusnahan ini menjadi hangat di Internet dan banyak buku-buku yang ditulis mengenainya, antaranya ialah Apocalypse 2012 dan How to Survive 2012.

Teori-teori awal pernah menyatakan bahawa dunia akan Kiamat pada Mei 2003, namun apabila tiada apa yang berlaku pada tarikh tersebut tarikhnya telah digerakkan ke hadapan untuk solstis musim sejuk tahun 2012 bersamaan satu kitaran akhir kalendar purba kaum Maya.

NASA pula menyatakan sebaliknya bahawa tarikh dalam kalendar Maya tersebut bukan berakhir pada 21 Disember 2012, kerana period baru akan bermula selepas itu. NASA juga berkata tiada aktiviti keselarian planet di horizon untuk beberapa dekad akan datang.

Menurut NASA lagi, sekiranya planet itu akan berbaris selari pun, tiada kesan yang akan terhasil pada planet kita.

Antara teori-teori lain yang dinafikan NASA adalah ribut geomagnetik, pembalikan kutub atau kegoyahan dalam kerak bumi yang mungkin menyebabkan bumi berhenti berputar (rujuk filem The Core).

Contohnya, beberapa mitos mendakwa putaran bumi dan kekutuban magnet adalah berhubungan, dengan satu pembalikan magnetik akan berlaku hampir setiap 400,000 tahun.

"Setakat yang kami tahu, satu pembalikan magnetik tidak akan menjejaskan kehidupan di bumi, dan satu pembalikan dalam putaran bumi adalah 'mustahil', dan satu pembalikan magnetik adalah 'sangat tidak mungkin' untuk berlaku dalam beberapa milenia."

Manakala komet dan asteroid kerap kali menghentam bumi. Hentaman yang besar dan kuat jarang berlaku. Satu-satunya impak yang kuat adalah kira-kira 65 juta tahun yang lampau, yang mendorong kepada kepupusan dinosaur.

"Kami telah memastikan bahawa tidak terdapat asteroid yang mampu memberikan ancaman sebagaimana yang telah membunuh dinosaur berjuta-juta tahun yang lampau," tambah pihak NASA lagi.

Difahamkan bahawa Roland Emmerich akan melanjutkan filem 2012 menjadi siri televisyen berjudul 2013 di mana mereka yang terselamat daripada bencana besar dalam filem ini akan membina semula kehidupan.

Sekiranya ada yang masih hidup dan terselamat maka dunia bukanlah Kiamat, hanya bencana besar sahaja yang melanda dunia.

Sumber asal di sini.

Lawati juga laman web Institute for Human Continuity untuk mengetahui tentang teori 2012

Sumber lain: wikipedia

2 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

apa2 hal pun, spesel efek memang canggih. Kena tengok.

zulazahari berkata...

Yup, special effects antara yg terbaik, sekurang2 nya scene kiamat tu dpt menginsafkan kita sekiranya actual event benar2 berlaku