Rabu, 25 November 2009

Bulu roma meremang meskipun ia hanya trailer


Dewasa ini memang banyak filem-filem hantu dibikin dan dikeluarkan. Berbagai-bagai genre, berbagai-bagai jalan cerita. Tidak semestinya filem seram, filem bergenre komedi romantik dan fantasi pun mengutarakan hantu sebagai plot ceritanya (Just Like Heaven, The Christmas Carol).

Bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia (termasuk Bollywood) berlumba-lumba mengeluarkan filem hantu sebagai produk mereka. Terbaharu adalah filem daripada Australia berjudul Lake Mungo.

Yang menarik tentang Lake Mungo ialah ia tidak perlu menonjolkan imej hantu yang hodoh atau mengerikan sebagai faktor untuk menakutkan dalam filem ini sebaliknya hanya imej hantu yang agak kabur dan 'atmosphere' yang agak menyeramkan seperti kegelapan, suasana senyap (silent) sudah cukup membuatkan bulu roma aku naik.

Aku masih belum menonton keseluruhan filem ini, hanya menyaksikan melalui trailernya sahaja di laman web filem tersebut, namun seperti yang aku kata, ia mampu membuatkan bulu roma meremang.

Mungkin ada yang akan menyamakan filem ini dengan filem-filem 'mockumentary' seperti The Blair Witch Project dan Paranormal Activity, aku rasakan ia adalah trend filem seram sekarang yang masih belum dibuat di Malaysia (mungkin rancangan Misteri [jangan terkeliru dengan Misteri Nusantara] di TV3 boleh dikatakan sebagai perintis di Malaysia namun belum dibuat dalam bentuk filem, Grand Brilliance mungkin boleh menerbitkan Misteri The Movie yang aku pasti akan menjadi box-office hits).

Filem Lake Mungo mengisahkan tentang seorang remaja berusia 16 tahun bernama Alice Palmer telah mati lemas sewaktu mandi di Lake Mungo. Sebulan kemudian keluarga Palmer telah mengalami beberapa kejadian aneh dan menyeramkan. Meskipun mereka memang merindui Alice namun tidak mahu Alice kembali kepada mereka dalam bentuk hantu. Mereka kemudian menemui seorang ahli psikologi bernama Ray Kemeny. Setelah disiasat, Ray Kemeny mendapati bahawa Alice mempunyai dua kehidupan sewaktu hidupnya. Kemeny dan keluarga Palmer kembali ke Lake Mungo untuk cuba membongkar rahsia silam Alice.

Terdapat persamaan antara watak Alice Palmer dan Laura Palmer dalam siri TV Twin Peaks arahan David Lynch yang popular awal 90'an. Di dalam siri Twin Peaks, Laura Palmer juga merupakan remaja yang ditemui mati dan kematiannya menjadi misteri. Laura Palmer juga mempunyai dua kehidupan iaitu seorang remaja dan pelajar yang cemerlang namun di sebaliknya Laura merupakan seorang penagih dadah, pelacur dan mangsa penderaan.

Diarahkan oleh Joel Anderson dan dibintangi oleh Talia Zucker sebagai Alice Palmer.

Nama Lake Mungo diambil sempena nama Tasik Mungo di New South Wales, Australia yang terkenal dengan penemuan dua fosil manusia zaman purba yang digelar Mungo Man dan Mungo Lady (sila google atau rujuk Wikipedia untuk membaca kisah fosil ini).

TRAILER LAKE MUNGO 1

TRAILER LAKE MUNGO 2

Tiada ulasan: