Khamis, 22 Oktober 2009

100 campur


Aku sering menerima e-mail menceritakan bagaimana minuman isotonik 100 Plus mampu menyembuhkan penyakit-penyakit seperti demam denggi, chikungunya dan yang terbaru ialah H1N1. Yang sering terdetik dalam hati ialah adakah penulis e-mail ini pernah membuat kajian mengenai perkara ini. Adakah penulis e-mail tersebut merupakan seorang doktor ataupun ahli virology yang dapat mengesahkan perkara ini. Yang aku pasti 100 Plus memang berkesan sekiranya aku terkena cirit birit kerana ia mengandungi Oral Rehydration Salt yang mampu mengembalikan kandungan garam dalam badan apabila hilang kerana disebabkan cirit-birit tersebut. Itupun sekiranya tidak sembuh aku perlu ke klinik juga.

Tiada kajian 100 Plus pulihkan demam denggi

KUALA LUMPUR - Tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa minuman isotonik 100 Plus boleh memulihkan pesakit demam denggi, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

"Bagaimanapun, saya ingin berkongsi pengalaman saya di mana ada saudara saya yang dijangkiti demam juga meminum air 100 Plus dan Alhamdulillah sehingga kini beliau sihat dan tidak memudaratkan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Ibrahim berkata, ada khabar angin yang mengatakan bahawa minuman 100 Plus merupakan ubat yang paling mujarab untuk mereka yang diserang penyakit demam denggi.

"Saya diberitahu ada di kalangan penghidap (demam denggi) yang minum 100 Plus pulih, secara kebetulan atau tidak saya tidak tahu. Persoalannya ialah, saya bimbang jika ia menjadi kepercayaan kerana bagi yang kena demam denggi kalau ada diabetes dan minum 100 Plus, sepatutnya mati dua tahun lagi, dia mati esok.

"Bagaimana kementerian hendak beri kesedaran dan kepercayaan dari segi ubatan untuk memulih sakit seperti ini dan mereka diberi kefahaman jelas dan tidak ambil mudah," kata Ibrahim.

Petikan akhbar Kosmo! 22 Oktober 2009

Tiada ulasan: