Khamis, 3 September 2009

Pembunuh upahan vs pembunuh bersiri


Aku suka sebuah filem yang mencampur-adukkan semua jenis genre dalam satu filem, jadi filem rojak. Filem rojak pada aku lebih baik dari filem sampah, atau filem yang kosong (mengosongkan poket aku dan minda aku bila aku menontonnya).

Slice merupakan sebuah filem seram terbaru dari Thailand. Walaupun dikategori sebagai filem seram namun ia menyelitkan unsur-unsur aksi dan kongsi gelap. Selalunya filem-filem seram kongsi gelap begini menjadi kesukaan pengarah Jepun, Takashi Miike (ingat Ishi the Killer?).

Slice mengisahkan tentang beberapa kes pembunuhan telah berlaku. Mangsa pembunuhan adalah lelaki dan tubuh badan mangsa dipotong-potong. Pihak polis menjadi buntu dan tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai kejadian pembunuhan ini.

Pihak polis menjadi semakin terdesak apabila anak lelaki seorang VIP menjadi mangsa terbaru. Akhirnya pihak polis mendapatkan bantuan seorang lelaki yang pernah menjadi pembunuh upahan kepada kumpulan kongsi gelap. Lelaki tersebut bernama Tai dan sekarang berada dalam tahanan pihak polis.

Tai bersetuju untuk membantu mengesan pembunuh tersebut dengan syarat dia mendapat pembebasan. Pihak polis pula memberi masa selama 15 hari kepada Tai untuk menjejaki pembunuh itu. Isteri Tai menjadi tahanan dan akan dibebaskan apabila Tai berjaya mengesan pembunuh itu.

Dengan menggunakan kepakarannya menjejaki sasaran, Tai mencari segala maklumat dan petunjuk tentang pembunuhan yang telah dilakukan. Tai juga teringatkan seorang rakannya sewaktu kecil yang pernah mengalami sakit mental. Tai mencari rakannya itu dan berharap dia adalah pembunuh sebenar.

WEBSITE DAN TRAILER SLICE

Tiada ulasan: