Khamis, 6 Ogos 2009

Fiksi dan realiti

Filem-filem sains fiksyen sering dikatakan sebagai khayalan ataupun imaginasi penulis dan pengarah filem bergenre itu namun kita tidak menyedari bahawa peralatan-peralatan yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut sebenarnya telah memberi ilham kepada para saintis untuk merealisasikan perkakasan yang terdapat dalam filem-filem sains fiksyen.

Dalam entri ini aku senaraikan beberapa perkakasan yang terdapat dalam filem sains fiksyen yang berkemungkinan besar akan digunakan di dunia realiti.



Sut Penyelaras - G. I. Joe

Di dalam filem G. I. Joe watak Duke dan Ripcord dilihat memakai kostum atau sut yang memberikan mereka keupayaan untuk berlari sejauh 60 batu sejam. Sut penyelaras ini juga digambarkan memiliki kuasa hidraulik turbo yang menjadikan pemakainya mampu berlari pantas, melompat lebih tinggi dan kekuatan luarbiasa. Ia juga kalis peluru dan mempunyai senjata yang tersembunyi. Sut ini juga dilengkapi dengan alat perhubungan dan sistem pengaliran udara. Sewaktu produksi perfileman G.I. Joe bertemu dengan wakil daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, mereka dimaklumkan bahawa konsep sut penyelaras itu lebih kurang sama dengan sut penyelaras yang sedang dibina oleh Jabatan Pertahanan AS. Sut yang sedang dalam pembinaan itu dikatakan membolehkan tentera yang memakainya untuk bergerak pantas dan kalis peluru. Bagaimanapun, sut yang digambarkan dalam filem G.I. Joe dikatakan lebih canggih.



Sut perisai - Iron Man

Baju perisai yang dipakai oleh Tony Stark dalam filem Iron Man membolehkan pemakainya mengatasi kuasa magnetik dan membolehkan pemakainya terbang. Walaupun sut perisai yang dipakai oleh Tony Stark ini begitu canggih dan pembinaannya dikatakan luar dari jangkauan minda, namun sebuah syarikat robotik bernama Sarcos telah menghasilkan sejenis kerangka mekanikal yang dipanggil XOS Exoskeleton yang mempunyai keupayaan yang sama seperti sut perisai Iron Man. Ia boleh meningkatkan keupayaan 20 kali ganda dan amat ringan. Cuma kelemahan XOS ialah ia menggunakan kuasa bateri. Pihak Sarcos masih belum mampu untuk membina rangka tersebut menggunakan kuasa elektromagnetik.



Minority Report

Di dalam filem Minority Report, Steven Spielberg menggambarkan sebuah komputer yang menggunakan teknologi dipanggil Gesture Computer Interface. Komputer ini digunakan tanpa menekan papan kekunci (keyboard) manakala skrinnya pula holografik 3D. Sebuah syarikat IT iaitu Oblong Industries telah pun menghasilkan sejenis komputer yang dipanggil G-Speak. G-Speak mempunyai sebuah kamera dan perisian yang dapat membaca pergerakan tangan dan menafsirkannya kepada arahan komputer.

Di dalam filem Minority Report juga Steven Spielberg menggambarkan akhbar yang menggunakan sejenis papan elektronik. Papan tersebut mempunyai skrin yang memaparkan berita-berita terbaru. Pakar-pakar di syarikat Xerox PARC telah pun menghasilkan sejenis plastik fleksible yang boleh memaparkan imej-imej berwarna di atasnya. Teknologi ini dipanggil Gyricon. Kemungkinan Gyricon akan menggantikan kertas suatu hari nanti.



Sut penyamaran - G.I. Joe

Di dalam filem G.I. Joe terdapat sejenis sut yang boleh berubah-ubah mengikut persekitarannya seumpama chameleon atau sesumpah. Ini membolehkan pemakainya mengelakkan diri dari dikesan oleh pihak musuh. Sebenarnya, pihak tentera Amerika Syarikat sedang membina sejenis sut yang boleh mengelakkan diri dari dikesan musuh. Sut itu menggunakan teknologi Stealth seperti yang digunakan oleh pesawat anti radar. Sut ini juga dilengkapi kamera untuk membolehkan pihak tentera membuat tugas-tugas pengintipan.

Tiada ulasan: