Khamis, 28 Mei 2009

Pencemaran dan kejutan


Apabila membaca kumpulan cerpen yang terkandung dalam buku Capa Rengat, antologi cerpen karya Baharuddin Kahar, seolah-olah aku menaiki mesin masa, merentasi kembali ke zaman 80'an, zaman di mana aku dibesarkan.

Kebanyakan cerpen yang dimuatkan merupakan karya-karya Baharuddin Kahar yang pernah disiarkan di majalah-majalah, juga memenangi beberapa anugerah sastera sekitar tahun 80'an. Lebih menarik apabila tempat yang menjadi latar untuk cerpen-cerpen Baharuddin Kahar adalah di negeri Perak, terutamanya mukim Hulu Kinta dan Tanjong Rambutan, yang juga merupakan kampung halaman ayahku dan tempatku membesar.

Baharuddin Kahar juga tidak lupa menyelitkan asal-usul keturunannya iaitu keturunan Rawa (atau dikenali juga sebagai Rao) di dalam cerpennya iaitu Gulai Rawo. Seperti penulis Barat, Stephen King, Baharuddin Kahar juga seolah-olah membuat sinambungan dan kaitan antara cerpen-cerpennya. Contohnya cerpen Gulai Rawo seolah-olah sinambungan kepada cerpen Kelah Sisik Merah. Watak Budin di dalam kedua-dua cerpen ini juga seolah-olah menjadi cameo dalam cerpen Kebesaran di mana watak Durani bertemu dengan seorang tua bernama Pak Budin yang hendak ke pekan untuk membeli tali pancing. Watak Budin di dalam cerpen Kelah Sisik Merah dan Gulai Rawo juga merupakan seorang penangkap ikan yang handal. Cerpen Keindahan yang Hilang juga boleh dianggap sebagai sinambungan untuk cerpen Capa Rengat.

Nama Pak Cik Kinto juga menarik perhatianku. Jika anda pernah membaca novel Senjakala karya Baharuddin Kahar, watak utamanya juga bernama Kinto dan kisah di dalam novel itu juga berlatarkan kawasan Ulu Kinta di era 70'an - 80'an. Sebenarnya, pernah terdapat sebuah warung bernama Warung Kinto yang terletak di hadapan Supermarket Kuala Kangsar sekitar tahun 80'an dahulu dan memandangkan Baharuddin Kahar pernah menjadi guru di Kuala Kangsar, aku yakin beliau mengambil nama warung tersebut untuk watak ciptaannya, ataupun mungkin juga daripada nama Kinta.

Baharuddin Kahar juga turut mencipta watak orang yang bukan Melayu. Cerpen Longnya Laku mengisahkan tentang seorang lelaki Tionghua bernama Leong yang mengharapkan kematian seorang tua yang kaya untuk menjual long ataupun keranda kepada keluarga lelaki tua itu demi untuk merawat penyakit anaknya. Terdapat twist ending dalam cerpen ini. Di dalam cerpen Bah Urei pula ia menceritakan perihal masyarakat Orang Asli.

Yang paling jelas, kebanyakan cerpen-cerpen yang dimuatkan adalah bertemakan pencemaran dan kejutan. Pencemaran alam, pencemaran dan kejutan budaya merupakan tema yang kuat dan nyata untuk cerpen-cerpen beliau. Tidak ketinggalan juga kisah-kisah cinta yang tak kesampaian dan terdapat juga unsur-unsur dakwah dan ketuhanan seperti cerpen Terima Kasih Tuhanku dan Lolongan.






6 ulasan:

Jari Basurek berkata...

Menarik tulisan sdr. Izin salin untuk paparan blog saya kerana bersangkutan dengan orang Rao (Rawa). Terima kasih.

zulazahari berkata...

Sdr. Jari,

Boleh, apa salahnya, dengan syarat nama blog ini dikreditkan sbg sumber rujukan.

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin bertanya, adakah saudara mengenali Penulis Baharudin Kahar secara peribadi? Jika ya, bolehkah sekiranya saya meminta alamat e-mail beliau kerana saya ingin mengajukan beberapa soalan kepadanya.. Saya merupakan seorang pembaca cerpen2 beliau dan amat berminat untuk mendapatkan pandangan beliau berhubung beberapa perkara mengenai cerpen 'gulai rawo'. Terima kasih..

zulazahari berkata...

Tanpa Nama,

Pertama sekali saya meminta maaf kerana tidak dapat membantu saudara/saudari. Saya mengenali saudara Baharuddin Kahar hanya kerana beliau merupakan kawan ayah saya sejak zaman kanak-kanak (mereka sekampung). Ayah saya juga sudah lama tidak bertemu dengannya. Dengarnya saudara Baharuddin Kahar kini menetap di Johor malangnya saya tiada sebarang maklumat seperti alamat, nombor telefon ataupun e-mail beliau.

Tanpa Nama berkata...

Saya amat meminati cerpen2 karangan
baharudin kahar, ada beberapa antologi iaitu Terimakasih Tuhanku dan Kampung Halaman..

Dimanakah boleh saya mendapatkan
antologi cerpen2 tersebut?

zulazahari berkata...

Antologi cerpen Baharuddin Kahar biasanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, saudara/saudari boleh meninjau-ninjau di kedai DAWAMA yg berhampiran (pengedar buku2 DBP).