Jumaat, 8 Mei 2009

Felix Leiter

Barisan pelakon yang pernah membawakan watak Felix Leiter


Felix Leiter merupakan watak ciptaan Ian Fleming untuk siri-siri novel James Bond. Felix Leiter merupakan agen CIA yang akan membantu perisik British James Bond setiap kali perisik itu meminta bantuannya.

Watak Felix Leiter mula diperkenalkan oleh Ian Fleming dalam novel Casino Royale. Di dalam novel itu Felix Leiter meminjamkan sejumlah wang kepada James Bond untuk berjudi dan mengalahkan agen SMERSH iaitu Le Chiffre.

Di dalam novel Live and Let Die, Felix Leiter membantu James Bond menjejaki Mr. Big, seorang penyeludup wang emas di Harlem. Sewaktu menyiasat sebuah gudang di Florida, Leiter telah ditangkap oleh konco-konco Mr. Big dan dijadikan makanan jerung. Felix Leiter berjaya menyelamatkan diri daripada ancaman jerung bagaimanapun kehilangan sebelah kaki dan tangannya. Felix Leiter kemudian meninggalkan CIA akibat kecacatannya.

Watak Felix Leiter dikembalikan dalam novel Diamonds Are Forever. Kali ini dia berkaki kayu dan berlengan cangkuk, berkhidmat sebagai penyiasat persendirian untuk Pinkerton Detective Agency. Felix Leiter kembali membantu Bond menjalankan tugas-tugas perisikan dan kemunculan terakhirnya adalah dalam novel The Man with the Golden Gun.

Di dalam filem, watak Felix Leiter adalah seorang agen CIA kecuali di dalam filem Licence to Kill di mana beliau adalah agen DEA (Drug Enforcement Administration). Watak Felix Leiter mula diperkenalkan dalam filem Dr. No dan dilakonkan oleh Jack Lord yang popular sebagai Steve McGarrett dalam siri TV Hawaii Five-O.

Filem kedua Bond iaitu Goldfinger menyaksikan pelakon Cec Linder memegang watak sebagai Felix Leiter. Dalam filem Thunderball ia dijayakan oleh Rick Van Nutter, Diamonds Are Forever dipegang oleh Norman Burton, David Hedison membawakan watak ini sebanyak dua kali iaitu dalam filem Live and Let Die dan Licence to Kill, di dalam filem The Living Daylights ia dipegang oleh John Terry. Jeffrey Wright merupakan pelakon kulit hitam pertama yang membawakan watak Felix Leiter iaitu dalam filem Casino Royale dan Quantum of Solace.

Untuk filem Bond, Never Say Never Again yang merupakan satu-satunya filem Bond bukan keluaran EON Productions, watak Felix Leiter dilakonkan oleh Bernie Casey.

Terdapat perbezaan antara watak Felix Leiter versi filem dan versi novel. Felix Leiter mendapat kecacatan apabila dibaham jerung dalam novel Live and Let Die, bagaimanapun kejadian itu tidak berlaku di dalam filem dengan judul yang sama, sebaliknya ia berlaku di dalam filem Licence to Kill. Di dalam filem ini, dia telah ditangkap bersama-sama isterinya oleh konco-konco pengedar dadah bernama Franz Sanchez. Konco-konco Franz Sanchez telah merogol dan membunuh isterinya manakala Leiter telah dicampakkan ke dalam kolam yang terdapat jerung.

Untuk filem-filem Bond lakonan Pierce Brosnan, watak Felix Leiter ditiadakan sebaliknya diganti oleh watak seorang lagi agen CIA iaitu Jack Wade lakonan Joe Don Baker.


Tiada ulasan: