Rabu, 18 Mac 2009

Si penyangak Johnny Depp

Pelakon serba boleh Johnny Depp yang telah menawan hati ramai gadis dan wanita di dunia ini akan tampil dalam sebuah filem terbaharu berjudul Public Enemies. Dalam filem ini Depp akan memegang watak ketua penjenayah bernama John Dilinger.

Filem yang diadaptasi daripada buku berjudul Public Enemies: America's Greatest Crime Wave and the Birth of the FBI, 1933-34 karya Bryan Burrough ini akan diarahkan oleh Michael Mann (Heat, Miami Vice).

Filem ini berlatarbelakangkan tahun 30'an di mana dunia sedang dilanda kemelesetan ekonomi. Kejadian jenayah dan aktiviti gangsterisme semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat menyaksikan tertubuhnya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di mana J. Edgar Hoover telah dilantik sebagai Pengarah pertama FBI.

Sekumpulan penjenayah dianggotai oleh Baby Face Nelson, Pretty Boy Floyd dan ketua mereka John Dilinger telah melakukan beberapa rompakan di bank-bank ternama Amerika. Kegiatan Dilinger sewaktu AS sedang mengalami kegawatan ekonomi menjadikannya sebagai musuh nombor satu negara. Sepasukan FBI diketuai oleh Melvin Purvis menjalankan misi untuk memberkas Dilinger dan konco-konconya.

Turut berlakon ialah Christian Bale sebagai Agen Purvis, Marion Cotillard, Chaning Tatum, Stephen Dorff dan Billy Crudup. Kepada mereka yang meminati filem-filem Mafia dan gangster tahun 30'an, jangan lupa menyaksikan filem sejarah ini yang bakal ditayangkan di Malaysia sedikit masa lagi (tak lupa juga peminat Johnny Depp).

Aku pun tak sabar nak tunggu filem Johnny Bikin Filim.

1 ulasan:

cerpelai berkata...

Johnny Depp cukup sesuai bersama pengarah Tim Burton.. Beliau sangat bagus melakonkan watak yang berlatarbelakangkan kegelapan atau watak anih tetapi sangat diminati..

Gua nak tengok jugak macammana karier Johnny Depp akan berkembang bersama pengarah ni.. Adakah beliau akan menyelamatkan pengarah atau kekuatan pengarah akan bersenandung dengan lakonan hebat pelakon ini..