Selasa, 31 Mac 2009

Seram

Genre seram merupakan genre filem yang paling popular sebenarnya. Antara faktor kenapa genre ini diminati adalah kerana manusia menjadikan genre ini sebagai satu alternatif, di mana peristiwa yang berlaku di dalam filem seram hanyalah lakonan dan fiksi, maka ia dijadikan medium paling selamat untuk melepaskan rasa takut, menghadapi fobia sendiri. Namun ada juga kes penonton yang mati terkena serangan jantung sewaktu menonton filem seram, tapi amat sedikit bilangannya dan jarang-jarang kita dengar.

Filem seram menjadi semakin berkembang dan dibentuk dengan berbagai-bagai sub-genre, ada komedi seram, seram tulin (true horror), seram psikologikal, seram aksi, seram fantasi, seram thriller, seram tubuh (body horror), seram erotik, seram splatter (splatter horror), seram surreal, seram survival (survival horror) dan macam-macam lagilah.


Pada mulanya filem-filem seram bermodalkan makhluk-makhluk aneh yang berwajah hodoh dan menakutkan. Lama kelamaan ia telah menimbulkan kebosanan pada penonton menjadikan filem-filem seperti itu tidak lagi menakutkan, ada kalanya melucukan. Muncul pula pengarah filem seram era baru seperti William Castle dan Alfred Hithcock yang mengenepikan watak-watak hantu atau rasaksa, sebaliknya kengerian atau keganasan itu dilakukan oleh manusia sendiri. Maka terhasillah filem-filem seperti Psycho, Homicidal malahan filem kongsi gelap seperti The Terror of the Tongs keluaran Hammer juga dikategorikan sebagai filem seram.

Lama-kelamaan filem seram menjadi semakin kompleks, tidak lagi hanya bertumpu kepada hantu, wajah hodoh, darah dan jeritan. Ia menjadi semakin berseni dan mempunyai falsafahnya tersendiri, contohnya seperti filem The Last House on the Left arahan Wes Craven yang mengutarakan masalah sosial dan keruntuhan moral remaja Amerika Syarikat lewat 70'an.


Juga daripada permasalahan remaja, kepincangan masyarakat Amerika Syarikat abad ke-20 juga telah mencetuskan fenomena filem-filem slasher seperti Friday the 13th, Halloween dan Nightmare on Elm Street. Filem-filem ini telah mendapat sambutan khususnya di kalangan remaja dan menjadikan watak-watak seperti Michael Myers, Jason Voorhees dan Freddy Krueger sebagai ikon filem seram yang baru menggantikan Dracula, Werewolf dan Frankenstein. Akibat sambutan hangat filem ini telah dibuat sambungan dan dijadikan bersiri seolah-olah tiada kesudahannya (meskipun pada suatu ketika watak Jason Voorhees pernah dimatikan dan digantikan dengan pembunuh yang meniru imej Jason [copycat killer]).

Ridley Scott pula mencetuskan kegilaan baru iaitu Alien, sebuah filem sains-fiksyen seram yang telah di upgrade kan. Meskipun genre ini bukan baru kerana sebelum ini dalam tahun 50'an dan 60'an telah banyak filem-filem sains fiksyen seram seperti The Blob, The Thing from Another World dan Plan 9 from Outer Space, namun filem Alien muncul di era disko dan kegemilangan filem Star Wars. Filem Alien juga dikatakan ingin menyaingi populariti sebuah lagi filem seram yang dibikin beberapa tahun sebelumnya iaitu Jaws, menyebabkan ia dimomokkan sebagai Jaws in space.


James Cameron telah mengembalikan mania filem Alien ini pada tahun 1986 apabila menggabungkan unsur-unsur aksi dan peperangan untuk sekuel filem ini iaitu Aliens. Sebelum itu Cameron telah menggabungkan unsur-unsur sains fiksyen, seram dan aksi dalam filem The Terminator meskipun ia dikategorikan sebagai filem aksi sains fiksyen. Formula yang sama iaitu menggabungkan sains fiksyen, seram dan aksi ini digunakan semula dalam filem Predator arahan John McTiernan setahun kemudian yang juga mencatat kutipan box-office. Alien dan Predator, juga telah menjadi ikon seram dan dibikin sambungannya sehingga kedua-dua watak makhluk asing ini ditemukan dalam sebuah filem berjudul Alien vs Predator.

Walaupun filem Alien vs Predator ditayangkan selepas kejayaan sebuah lagi filem crossover seram iaitu Freddy vs Jason setahun sebelumnya, idea untuk menggabungkan kedua-dua makhluk asing itu bukanlah tercetus daripada filem Freddy vs Jason. Sebaliknya penggabungan mereka telah pun dibikin di dalam komik Aliens vs Predator yang diterbitkan oleh Dark Horse Comics. Kemudian dalam adegan akhir filem Predator 2, sewaktu watak protagonis Harrigan menerima senjata (anugerah) daripada Predator, ternampak rangka Xenomorph (Alien) di dalam kapal angkasa Predator tersebut.

Rangka Xenomorph dalam kapal angkasa Predator.

Entri ini mungkin akan disambung lagi.

Sumber rujukan: imdb, wikipedia, bloody-disgusting, Skrin, Horrorisma, Horrorebiu

1 ulasan:

Encik Cerpelai berkata...

Filem Alien sememangnya mencetuskan rasa cemas melampau yang seolah-olah bersambung dengan dunia imaginasi kita sendiri..

Seperti juga Silence Of The Lambs, Child's Play, Exorcist, Halloween, Evil Dead, Texas Chainsaw Massacre dan banyak lagi, filem bertemakan seram bermotif sangat dinantikan oleh peminat..

Seperti kata bro, watak seperti Freddy Krueger, Chucky, Jason dan lain-lain menjadi satu ikon yang sukar untuk minda kita luputkan begitu saja..

Gua harap filem kita akan menjadi 'bijak' seperti itu atau setidak-tidaknya, kembalikan zaman kegemilangan filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang tidak pernah jemu untuk gua tonton biarpun beratus-ratus kali..