Rabu, 4 Mac 2009

Angsa-angsa liar


Walaupun filem ini telah dibikin 31 tahun yang lepas, namun aku masih menggemarinya. Bagi aku filem ini merupakan filem aksi paling aku minati sepanjang zaman, meskipun banyak filem baru yang muncul. Pendapat aku juga, rasanya filem Rambo: First Blood Part II juga mendapat pengaruh daripada filem ini.

The Wild Geese, sebuah filem perang keluaran British yang membariskan beberapa pelakon handalan dalam sebuah filem. Filem ini diarahkan oleh Andrew V. McLaglen dan diterbitkan oleh Euan Lloyd. Filem ini mendapat pengaruh daripada filem-filem perang tahun 50'an dan 60'an seperti The Guns of Navarone, Where Eagles Dare dan The Dirty Dozen.

Filem ini dibintangi oleh Richard Burton, Roger Moore, Richard Harris, Hardy Kruger dan Stewart Granger. Filem ini berdasarkan pada novel The Thin White Line karya Daniel Carney. Ia mengisahkan beberapa orang tentera upahan telah diupah oleh seorang saudagar British bernama Sir Edward Matherson untuk menyelamatkan seorang lelaki bernama Julius Limbani, bekas pemimpin sebuah negara di Afrika Tengah daripada dibunuh oleh kumpulan pemberontak diketuai oleh Jeneral Ndofa.

Disebabkan populariti filem ini maka sekuel untuk The Wild Geese dibikin enam tahun kemudian. Wild Geese II masih diterbitkan oleh Euan Lloyd tetapi diarahkan oleh Peter R. Hunt. Menggunakan barisan pelakon yang baru seperti Scott Glenn, Barbara Carerra, Edward Fox, Sir Laurence Olivier, Robert Webber, Kenneth Haigh dan Patrick Stewart.

Richard Burton sepatutnya kembali dalam sekuel ini memegang watak Allen Faulkner bagaimanapun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila meninggal dunia sebelum penggambaran bermula. Burton meninggal pada usia 81 tahun akibat pendarahan dalam otak. Edward Fox menggantikan tempatnya sebagai Alex Faulkner, adik kepada Allen.

Wild Geese II diadaptasi daripada novel The Square Circle karya Daniel Carney. Kisah kali ini tentang beberapa tentera upahan diupah untuk membebaskan bekas pegawai Nazi iaitu Rudolf Hess yang ditahan di penjara Spandau di Berlin.

Atas kepopularan Wild Geese juga sebuah produksi dari Itali telah menerbitkan sebuah filem berjudul Arcobaleno selvaggio atau dalam bahasa Inggerisnya berjudul Codename: Wildgeese. Filem keluaran 1984 ini diarahkan oleh Antonio Margheriti dan dibintangi oleh Lewis Collins, Lee Van Cleef, Ernest Borgnine dan Klaus Kinski.

Filem ini mengisahkan beberapa tentera upahan telah diupah untuk memusnahkan dan menghentikan kegiatan pemprosesan candu di Segitiga Emas di Burma (Myanmar).

Baru-baru ini Sylvester Stallone merancang untuk membikin sebuah filem yang similar dengan filem The Wild Geese. Filem tersebut berjudul The Expendables yang akan dibintangi oleh beberapa pelakon aksi terkenal selain Stallone sendiri. Filem itu juga mengenai beberapa tentera upahan yang diupah untuk membunuh seorang diktator di Amerika Selatan. Antara pelakon-pelakon yang dijangka akan membintangi filem itu ialah Jason Statham, Jet Li, Randy Couture dan Arnold Schwarzenegger.

TRAILER THE WILD GEESE

TRAILER WILD GEESE II

TRAILER CODENAME: WILDGEESE


Tiada ulasan: