Khamis, 5 Februari 2009

Tolak semua halangan

Against All Odds merupakan sebuah lagu berentak ballad nyanyian bekas vokalis kumpulan Genesis iaitu Phil Collins. Lagu ini dirakamkan pada tahun 1984 dan dijadikan runut bunyi untuk filem dengan judul yang sama.

Lagu ini pada asalnya berjudul How Can You Just Sit There? dan dimuatkan dalam album solo pertama Phil Collins berjudul Face Value. Lagu ini pernah mendapat tempat kedua di UK Singles Chart, tempat pertama untuk US Billboard Hot 100 dan US Billboard Mainstream Rock Tracks manakala menduduki tempat ketiga di US Billboard Adult Contemporary.

Lagu ini juga telah memenangi anugerah Grammy untuk Best Male Pop Voval Performance pada tahun 1985 dan pernah dicalonkan sebagai Lagu Terbaik dalam Academy Awards pada tahun yang sama. Bagaimanapun Phil Collins tidak mempersembahkan lagu ini pada majlis tersebut, ia telah dinyanyikan oleh penyanyi, pelakon dan koreografer Ann Reinking.

Lagu ini telah dirakam semula oleh Mariah Carey secara duet bersama boy band Westlife pada tahun 2000. Lagu ini dimuatkan dalam album Westlife yang kedua, Coast to Coast. Lagu ini juga telah dirakamkan oleh kumpulan The Postal Service pada tahun 2004. The Postal Service telah mengubah rentak lagu ini kepada electronica dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Lagu Against All Odds versi The Postal Service telah dinobatkan sebagai Best Cover Songs of All Time daripada The New York Post.

Filem Against All Odds diterbitkan pada tahun 1984 dan diarahkan oleh Taylor Hackford. Against All Odds merupakan remake untuk filem Out of the Past yang diterbitkan pada tahun 1947. Against All Odds dibintangi oleh Rachel Ward, Jeff Bridges dan James Woods.

Filem bergenre percintaan ini mengisahkan tentang bekas pemain bolasepak profesional, Terry Brogan telah disingkirkan daripada pasukannya. Akibat kesempitan wang, Terry Brogan telah menerima upah daripada seorang pemilik kelab malam bernama Jake Wise untuk menjejaki teman wanitanya, Jessie Wyler yang berada di Mexico.

Terry berjaya mengesan Jessie yang berada di sebuah pulau bernama Cozumel. Apabila Terry bertemu dengan Jessie, mereka telah jatuh cinta. Terry menelefon Jake dan memberitahu dia gagal mengesan Jessie.

Jake meminta bekas jurulatih Terry iaitu Sully untuk mengesan Terry dan Jessie di Mexico. Sully terkejut apabila mendapat tahu Terry telah membuat hubungan dengan Jessie dan berlaku pertengkaran antara mereka. Jessie secara tidak sengaja telah menembak Sully dan Sully mati serta merta.

Terry hairan kenapa Jake begitu inginkan Jessie dan kembali ke Amerika untuk mencari jawapannya. Terry mendapat tahu bahawa terdapat rahsia besar antara Jessie dan Jake dan bukan setakat percintaan semata-mata.






Tiada ulasan: