Rabu, 4 Februari 2009

Siri Exorcist yang dilupakan


The Exorcist III: Legion merupakan siri dalam kuadrilogi Exorcist yang dilupakan. Kerana kegagalan filem Exorcist II: The Heretic maka sambutan untuk filem ini agak dingin (aku tak pasti dengan jumlah sebenar sinambungan Exorcist ini kerana filem Exorcist: The Beginning dan Dominion: Prequel to the Exorcist mempunyai jalan cerita yang sama).

Filem ini diadaptasi daripada novel Legion karya William Peter Blatty yang merupakan sekuel The Exorcist yang sebenar. Dan supaya filem ini tidak menjadi merepek seperti The Exorcist II: The Heretic, William Peter Blatty sendiri turun padang untuk mengarahkan filem ini.

Sekiranya filem The Exorcist berkonsepkan true horror dan mengisahkan tentang kerasukan, The Exorcist III: Legion pula lebih berkonsepkan misteri dan penyiasatan.

Ia mengisahkan seorang detektif bernama Kinderman (lakonan George C. Scott) sedang menyiasat beberapa kejadian pembunuhan di sebuah bandar bernama Georgetown. Pembunuhan itu disyaki dilakukan oleh pembunuh bersiri yang digelar The Gemini Killer. Apa yang membingungkan pihak polis ialah The Gemini Killer telahpun mati beberapa tahun yang lalu. Penyiasatan Kinderman akhirnya membawa kepada seorang pesakit mental di sebuah rumah sakit jiwa yang mengaitkan kisah The Gemini Killer dengan kematian seorang paderi bernama Damien Karras. Paderi tersebut mati sewaktu memulihkan seorang gadis yang dirasuki syaitan.

Walaupun filem ini merupakan sinambungan daripada The Exorcist, Linda Blair tidak berlakon dalam filem ini. The Exorcist juga mempunyai spin-off iaitu sebuah filem thriller berjudul The Ninth Configuration yang juga diadaptasi daripada novel karya Blatty berjudul Twinkle, Twinle Killer Kane. Aku tidak pernah menonton filem ini. Ia mengisahkan seorang pakar psikiatri tentera bernama Colonel Kane ditugaskan ke sebuah pusat rawatan mental untuk askar-askar Amerika yang mengalami trauma akibat perang Vietnam. Antara pesakit-pesakit yang dimasukkan di sini termasuk seorang angkasawan bernama Cutshaw. Di dalam filem ini Cutshaw pernah memberitahu Kane tentang fobianya untuk mati di angkasalepas. Di dalam filem The Exorcist, watak Regan (lakonan Linda Blair) sewaktu dirasuk pernah memberi amaran kepada seorang angkasawan bahawa dia akan mati di angkasalepas. Beberapa watak dalam filem ini juga muncul sebagai penghuni rumah sakit mental dalam filem The Exorcist III: Legion.

Watak sebenar Detektif Kinderman dilakonkan oleh Lee J. Cobb dalam filem The Exorcist. Apabila Lee J. Cobb meninggal dunia pada tahun 1976, ia telah digantikan oleh George C. Scott yang mengakui tidak pernah menonton filem The Exorcist.

Saksikan klip di bawah.


1 ulasan:

Maya berkata...

Salam,
Maya sukakan The Exorcist(1973) dan antara filem2 ber-inspirasikannya adalah filem Turki,Syetan(1974)terkenal dengan jolokan Turkish Exorcist dan filem dari Jerman,Magdalena, vom Teufel besessen (1974)juga filem 'blacksploitation' Abby(1974). Sementara Syetan dan Magdalena meraih peminat dinegara masing2,Abby pula disaman oleh Warner Bros dan ditarik hak penayangannya selepas menjadi Box-Office.