Khamis, 12 Februari 2009

Peperangan manusia dan naga


Filem Merlin and the War of the Dragons merupakan terbitan dan keluaran Asylum Pictures. Asylum Pictures merupakan sebuah produksi yang terkenal dengan filem-filem ciplak. Lazimnya sebuah filem blockbuster yang akan keluar dan ditayangkan di pawagam, pihak Asylum akan menciplaknya dan membikin filem mengikut versi mereka, contohnya seperti Alan Quartermain and the Temple of Skull dibikin pada masa yang sama Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull dikeluarkan, filem Snakes on the Train (Snakes on a Plane), I Am Omega (I Am Legend), Transmorphers (Transformers) dan Monster (Cloverfield). Meskipun begitu belum ada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak Asylum Pictures kerana mereka tidak menciplak bulat-bulat filem tersebut, hanya konsep dan ideanya sahaja.

Aku tidak pasti filem Merlin and the War of the Dragons diciplak dari filem mana namun aku rasakan filem ini agak bagus juga walaupun ia merupakan sebuah filem fantasi yang low budget. Kisah ini berlaku sewaktu zaman kegelapan di England, seorang pemuda bernama Merlin telah menuntut ilmu daripada seorang bijaksana (wizard) bernama Mage. Turut bersama Merlin ialah seorang pemuda bernama Vendigar. Vendigar merancang untuk mencuri buku rahsia ilmu ghaib daripada Mage. Setelah berjaya Vendigar melarikan diri dan mendalami ilmu yang terdapat dalam buku tersebut.

Vendigar menukar beberapa orang miskin menjadi naga dan membuat pakatan dengan tentera pemberontak untuk menggulingkan raja. Dia menggunakan naga-naga jelmaan tersebut sebagai senjata menghancurkan tentera-tentera raja. Mage menghantar Merlin untuk mengambil pedang Excalibur daripada Lady Vivianne, penjaga pedang tersebut. Sekembalinya Merlin daripada mengambil pedang Excalibur, dia mendapati Mage telah dibunuh oleh Vendigar.

Walaupun filem ini merupakan low budget, namun penggunaan CGI dalam filem ini amat cantik dan berkesan, tertutamanya sekuens naga terbang. Sekiranya anda menganggap filem ini seperti Lord of the Ring, Eragon ataupun Chronicles of Narnia, filem ini tidak sampai ke tahap itu tetapi masih menghiburkan.

Filem ini dibintangi oleh Jurgen Prochnow, Simon Lloyd Roberts, Joseph Stacey, Carys Eleri, Ceri Bostock dan Nia Ann. Ia diarahkan oleh Mark Atkins.

Tiada ulasan: