Khamis, 15 Januari 2009

Melodi semalam

Kenangan sewaktu zaman persekolahan


Entah kenapa kebelakangan ini aku suka sangat mendengar lagu-lagu lama. Lagu-lagu yang aku minati sewaktu zaman persekolahan dahulu. Antara lagu-lagu tersebut seperti Always daripada Bon Jovi, With or Without You - U2, Sejati - Wings, Found Out About You - Gin Blossoms, Love is Only a Feeling - The Darkness. Sudah semestinya setiap lagu itu ada ceritanya tersendiri yang berkaitan dengan hidup aku.

Always - Bon Jovi.
Aku gilakan lagu ini sewaktu aku angau dengan seseorang dulu. Malangnya orang itu tiada apa-apa perasaan pun pada aku menyebabkan aku yang perasan, haha. Sesuai dengan lagu ini yang menceritakan seorang lelaki yang angau pada seorang awek tetapi awek tersebut sudah pun berkahwin ataupun mencintai orang lain, maka jadilah lelaki itu seorang yang penasaran.

With or Without You - U2.
Walaupun lagu Always dikeluarkan pada tahun 1994 dan lagu With or Without You nyanyian U2 dikeluarkan pada tahun 1987, pada aku lagu ini merupakan sekuel kepada lagu Always. Yalah, bila orang yang diinginkan tidak mempedulikan kita, so apa lagi yang nak dikata, aku akan hidup sama ada bersama ataupun tanpamu (with or without you).

Sejati - Wings.
Dulu agak susah nak dengar lagu ini. Maklumlah ketika itu lagu-lagu kumpulan Wings diharamkan penyiarannya di radio kerajaan (masa tu belum ada radio swasta, kalau ada pun radio Redifussion) termasuk penampilan kumpulan ini di televisyen kerana mereka antara kumpulan yang ingkar dengan larangan berambut panjang oleh Kementerian Penerangan. Kumpulan Wings pernah muncul beberapa kali di TV3 bagaimanapun imej mereka dikaburkan. Jadi, kalau nak dengar sangat lagu ini maka terpaksalah membeli album mereka. Disebabkan ketika itu aku masih bersekolah, duit manalah cukup masa tu. Kenalah ikat perut dengan berpuasa setiap kali waktu rehat dan duit belanja yang diberikan oleh ayah itu aku kumpul. Bila dah cukup maka dapatlah aku membeli kaset Teori Domino yang mengandungi lagu ini. Kaset original pertama yang aku beli. Lazimnya aku membeli kaset pirate di pasar malam aje, tapi demi Wings aku sanggup membeli yang original. Istimewanya tentang lagu Sejati ini, walaupun ia dikategorikan sebagai lagu yang jiwang karat, namun susunan muziknya berbeza dengan lagu-lagu rock cintan yang terdapat pada waktu itu (kecuali lagu-lagu Search, Lefthanded dan Bumiputra Rockers). Intronya ada elemen Mak Yong dan Wayang Kulit menyebabkan lagu ini menjadi sesuatu yang unik dan tidak jemu didengar walaupun sekarang lagu ini sering diputarkan khususnya melalui Sinar FM.

Found Out About You - Gin Blossoms
Aku mengenali muzik Alternative menerusi lagu ini sebelum aku mengenali muzik R.E.M, Nirvana dan Soundgarden. Aku mula meminati Gin Blossoms apabila aku meminjam album berjudul New Miserable Experience daripada member aku. Album ini adalah ciptaan gitaris Gin Blossoms iaitu Doug Hopkins. Istimewanya lagu ini adalah kerana petikan gitarnya yang agak catchy, ala-ala muzik surf dan irama 60'an. Bagaimanapun itulah antara lagu terakhir ciptaan Doug Hopkins kerana Hopkins membunuh diri pada tahun 1993.


Love is Only a Feeling - The Darkness
Lagu ini agak baru, dikeluarkan pada tahun 2004. Namun melodi lagu ini agak klasik, seperti lagu-lagu rock glam tahun 80'an. Ia dipersembahkan oleh sebuah kumpulan rock British, The Darkness.


Tiada ulasan: