Jumaat, 2 Januari 2009

Manusia bertopengkan haiwan


Selamat tahun baru Hijrah 1430. Heheh....lamanya tak menulis. Dah bersawang blog nie.

Akhirnya berkesempatan juga menonton Cicakman 2 - Planet Hitam.

Terus terang aku katakan aku agak kecewa dengan sekuel untuk Cicakman ini. Aku dapati banyak kekurangan dan kelemahan dalam filem ini berbanding dengan filem asalnya Cicakman.

Untuk filem sekuel pastinya kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada filem asalnya, malangnya Cicakman 2 - Planet Hitam gagal memberikannya.

Dalam filem Cicakman aku agak teruja dengan kekemasan CGI yang dibikin oleh Yusry malangnya kualiti CGI dalam filem ini begitu teruk, hinggakan pada suatu masa aku rasakan seolah-olah menonton sebuah filem animasi CGI, terutamanya ketika sekuens Cicakman mengejar pencuri. Begitu juga adegan Hairi bertarung dengan Rrama di atas motosikal, nampak sangat CGI nya. Lebih cantik sekiranya adegan itu difilemkan secara real menggunakan stuntman. Sekiranya masalah kos dan keselamatan merupakan puncanya kenapa CGI digunakan, lebih baik sekiranya Cicakman dijadikan filem animasi CGI terus, lebih selamat dan lebih menarik, cuba lihat filem Geng.

Aku pun tak pasti adakah Profesor Klon boleh dikategorikan sebagai seorang profesor genius yang evil? Apakah kejahatan yang dilakukan oleh Profesor Klon, setakat menghitamkan air dan kemudian cuba 'memujuk' rakyat dengan mencipta alat penapis air, bolehkah dikatakan sebagai evil?

Aku faham, tujuannya adalah untuk mencipta suasana panik dan chaos di kalangan penduduk Metrofulus apabila bekalan air telah tercemar dan Profesor Klon akan mengambil kesempatan atas kejadian ini untuk menggulingkan kerajaan dan menjatuhkan Presiden Ramlan. Malangnya suasana panik dan chaos gagal ditunjukkan dalam filem ini, setakat dua orang perempuan bergaduh dalam pasar raya berebutkan air mineral, dua jiran yang bergaduh dan seorang budak yang menjadi hitam kerana mandi air yang tercemar. Aku tidak nampak suasana kekalutan atas kejadian air bertukar menjadi hitam ini. Lebih menarik sekiranya ditunjukkan sekumpulan rakyat menyerbu pasar raya ataupun kilang memproses air mineral untuk merampas air mineral. Bagus juga sekiranya air yang bertukar hitam itu turut memberikan kesan kepada mereka yang meminum ataupun menggunakannya, misalnya gatal-gatal kulit ataupun terkena penyakit, barulah nampak Profesor Klon itu memang seorang yang kejam. Tidak menjadi kesalahan sekiranya Yusry ingin menyerapkan isu politik dalam filem ini. Aku rasa memang menjadi kelaziman filem-filem Superhero mengetengahkan isu-isu semasa seperti X Men, Iron Man dan The Dark Knight.

Juga siapa Rrama? Tidak dijelaskan siapakah Rrama sebenarnya melainkan seorang assassin wanita yang diupah oleh Profesor Klon dan sering merakamkan aksi pembunuhan yang dilakukannya. Lebih bagus sekiranya latar belakang Rrama diceritakan sedikit, boleh diperkenalkan oleh Profesor Klon sewaktu mesyuarat pertama Profesor Klon bersama-sama penjahat-penjahat lain.

Okay, itu adalah perkara yang aku tak puas hati dalam filem ini. Ada juga yang aku suka. Pertama sekali lakonan Sharifah Amani sebagai Iman, memang spontan dan kelakar especially sewaktu menghulurkan tangan untuk bersalam. Pertarungan Cicakman bersama bola api di dalam gudang juga kelihatan agak realistik walaupun dibikin oleh CGI. Aku juga suka dengan kostum dan gadget yang digunakan oleh Rrama. Nampak begitu futuristik.

Bukanlah niat aku untuk menjatuhkan filem ini, sekadar mengetengahkan perasaan kurang puas hati setelah membayar tiket RM10. Kepada Yusry, tingkatkan usaha anda untuk memperbaiki kelemahan filem ini. Aku yakin akan ada Cicakman 3, mungkin musuh Cicakman kali ini menggunakan elemen supernatural. Dan aku harap kualiti Cicakman 3 lebih tinggi daripada Cicakman 1 dan 2.

Tiada ulasan: