Rabu, 21 Januari 2009

Filem-filem superhero akan datang

Sekadar untuk mengisi slot, beberapa filem superhero yang sedang dalam pembikinan dan akan menemui penonton tidak berapa lama lagi.

Watchmen

Filem yang diadaptasi daripada novel grafik karya Alan Moore dan Dave Gibbons. Mengisahkan beberapa manusia yang mempunyai kuasa luarbiasa di dunia parallel pada tahun 1985. Amerika Syarikat ditadbir oleh Presiden Richard Nixon. Amerika Syarikat masih berkonfrontasi dengan Soviet Union dan perang nuklear boleh meletus bila-bila masa. Seorang superhero bernama Rorschach sedang menyiasat pembunuhan seorang lagi superhero bernama Comedian. Penyiasatan Rorschach membawanya kepada suatu konspirasi dan rancangan untuk membunuh lebih ramai superhero. Filem ini diarahkan oleh Zack Snyder dan dilakonkan oleh Patrick Wilson, Jackie Earle Haley, Malin Akerman, Billy Crudup, Matthew Goode dan Jeffrey Dean Morgan.


X-Men Origins: Wolverine

Filem yang difokuskan kepada permulaan kisah Wolverine, bagaimana Logan menjadi bahan eksperimen tentera apabila pihak tentera mendapat tahu dirinya seorang mutan. Eksperimen yang dikendalikan oleh William Stryker ini telah mengubah dirinya menjadi Wolverine. Diarahkan oleh Gavin Hood dan dilakonkan oleh Hugh Jackman, Liev Schreiber dan Danny Huston.


Man of Steel

Sekuel kepada filem Superman Returns. Dijangka Superman akan menentang dua orang penjahat selain Lex Luthor iaitu Brainiac dan Bizarro. Filem ini dijangka akan diarahkan oleh Bryan Singer dan mengekalkan pelakon asal iaitu Brandon Routh, Kate Bosworth dan Kevin Spacey. Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang perkembangan tentang filem ini.


The Avengers

Filem yang akan menghimpunkan beberapa superhero dalam komik Marvel. Jikalau anda rajin dan menunggu sehingga habis ending credit di dalam filem Iron Man, ada suatu adegan di mana watak Nick Fury lakonan Samuel L. Jackson bertemu dengan Tony Stark untuk membincangkan projek Avengers. Sempena filem Avengers juga beberapa filem superhero seperti Captain America, Thor dan Ant Man akan dibikin. Filem Avengers akan menghimpunkan mereka bersama Hulk dan Iron Man yang akan dilakonkan oleh pelakon asal.


The Green Hornet

Filem yang diadaptasi daripada siri TV popular tahun 60'an. Dalam siri TV ia dilakonkan oleh Van Williams sebagai Green Hornet dan Bruce Lee sebagai Kato. Ia mengisahkan seorang jutawan bernama Britt Reid adalah seorang pembasmi jenayah dikenali sebagai Green Hornet. Dia dibantu oleh pembantunya bernama Kato, seorang pakar seni mempertahankan diri. Untuk filem The Green Hornet ia dijangka akan dilakonkan oleh Seth Rogen sebagai Britt Reid/Green Hornet manakala watak Kato pula akan dilakonkan oleh Stephen Chow. Stephen Chow juga dikhabarkan akan mengarahkan filem ini. Bagaimanapun Stephen Chow menarik diri pada saat-saat akhir menyebabkan penggambaran filem ini masih belum dimulakan.


Superman Reboot

Selain filem Man of Steel, pihak Warner Bros. juga bercadang untuk membuat reboot kepada siri-siri filem Superman sebelum ini. Belum ada sebarang perkembangan daripada pihak Warner tentang filem ini, selain itu watak Superman juga akan dibawakan oleh pelakon lain untuk filem Justice League of America.


Green Arrow: Escape from Super Max

Sebuah lagi projek yang tidak kurang menariknya. Mengisahkan watak superhero komik DC iaitu Green Arrow telah dikurung di sebuah penjara yang dikenali sebagai Super Max. Siapa yang mengurungnya dan untuk apa dia dikurung tidak diketahui. Di dalam kurungan tersebut dia dikurung bersama-sama superhero lain dan beberapa penjahat terkenal. Mereka mengatur rancangan untuk lari daripada kurungan tersebut yang dikatakan mempunyai kuasanya sendiri. Filem ini dikatakan akan menampilkan beberapa penjahat seperti The Riddler, Lex Luthor dan Joker sebagai cameo.


Venom

Spin-off untuk watak Venom dalam filem Spider-Man 3. Setakat ini belum ada perkembangan tentang filem ini dan tidak dapat dipastikan sama ada Topher Grace akan kembali memegang watak Eddie Brock. Dijangka Venom akan menentang musuhnya iaitu Carnage. Tiada watak Spider-Man ataupun Peter Parker dikhabarkan dalam filem ini.


Spider-Man 4

Juga masih dalam keadaan terawang-awang. Sam Raimi berminat untuk memasukkan watak Morbius iaitu manusia yang mempunyai sifat pontianak (berbeza dengan watak Blade yang merupakan manusia kacukan pontianak). Morbius pada asalnya ialah Dr. Michael Morbius yang bertukar menjadi pontianak apabila menjalankan eksperimen untuk mengubati sejenis penyakit darah yang dihidapinya. Dylan Baker yang melakonkan watak Dr. Connors dalam ketiga-tiga filem Spider-Man juga berminat untuk membawakan watak Lizard dalam filem Spider-Man 4.

Tiada ulasan: