Khamis, 8 Januari 2009

Dexter Morgan, pakar forensik dan pembunuh bersiri

Baru semalam menonton siri ini. Di TV2, pukul 11.00 malam. Aku tak pasti sama ada Astro ada menayangkan siri ini atau tidak.

Dexter, judul drama bersiri terbaru yang ditayangkan di TV2. Baru sekali menonton ia dah melekat di hatiku, menjadikan ia drama bersiri yang akan aku tunggu setiap malam Khamis.

Apa istimewanya drama ini? Pada mulanya aku menyangkakan ia adalah sebuah drama penyiasatan forensik seperti CSI, Criminal Minds dan Numbers. Ternyata aku silap. Memang ia sebuah drama penyiasatan forensik, tetapi watak utamanya iaitu Dexter Morgan mempunyai sisi gelap yang mengerikan, dia sendiri merupakan pembunuh bersiri.

Siri TV Dexter diadaptasikan daripada novel Darkly Dreaming Dexter karya Jeff Lindsay. Siri Dexter turut mengikut format di dalam novel, memperdengarkan suara hati Dexter kepada penonton.

Dexter Morgan adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai perasaan, hanya naluri ingin membunuh sejak dari zaman kanak-kanaknya. Sewaktu zaman kanak-kanaknya dia memuaskan nafsu membunuhnya dengan membunuh binatang peliharaan jirannya. Perbuatan ini dapat dikesan oleh ayah angkatnya, Harry Morgan, seorang anggota polis. Harry cuba untuk membendung perbuatan Dexter namun tidak berjaya kerana keinginan untuk membunuh dalam diri Dexter begitu kuat. Harry mencipta satu kod etika yang dipanggil Dexter sebagai 'Kod Harry' yang mengarahkan Dexter untuk membunuh mereka yang juga seorang pembunuh. Harry juga mengajar Dexter cara-cara untuk tidak meninggalkan sebarang jejak dan kesan setiap kali selesai melakukan pembunuhan.

Sebagai alternatif bagi Dexter, dan juga untuk memudahkannya melakukan pembunuhan, Dexter telah menjadi seorang penganalisa darah dalam Jabatan Forensik. Melalui tugasnya, Dexter dapat mengesan pembunuh-pembunuh bersiri lain, sekaligus membantu pihak polis. Sekiranya ada pembunuh bersiri yang terlepas akibat sistem perundangan, maka dia tidak akan terlepas daripada hukuman Dexter.

Aku rasa inilah satu-satunya siri TV yang memaparkan protagonisnya adalah seorang pembunuh bersiri. Aku harap siri ini akan terus disiarkan di TV2 dan janganlah dibatalkan penyiarannya kerana ia sungguh menarik (ah, rayuan gombal).

1 ulasan:

cerpelai berkata...

Memang sangat menarik bro..
Premis cerita ni yang menjadikannya begitu.. Protagonisnya juga adalah antagonis..!! Idea yang pernah digunakan dalam filem (gua tak ingat tajuk filem tu..) tapi kali ni digunakan dalam bentuk drama pulak..

Persoalan benarkah hanya pembunuh bersiri sahaja yang tahu fikiran seorang pembunuh bersiri membuatkan ramai orang akan menjadikan rating drama ini melonjak tinggi..!!

Selain Supernatural, gua minta drama ni jugak..