Khamis, 11 Disember 2008

NANO NANO

Sebuah lagi program yang mengembalikan nostalgia ku ke zaman kanak-kanak. Kepada pekan Kuala Kangsar yang agak damai suatu masa dahulu, kepada jam besar di tengah-tengah pekan, kepada keris Tamingsari rasaksa di tengah padang kanak-kanak, kepada sekolah rendah kebangsaan Clifford, kepada panggung Rex di belakang rumah dan banyak lagilah (siapa pernah tinggal di Kuala Kangsar sekitar tahun 70'an dan 80'an pasti tahu apa yang aku tuliskan ini).

Mork and Mindy adalah sebuah sitkom bercorak sains fiksyen yang popular sekitar 70'an dan 80'an. Sitkom ini telah menaikkan nama Robin Williams sebagai aktor komedi popular sebelum munculnya Jim Carrey sekitar tahun 90'an.

Robin Williams memegang watak sebagai Mork, makhluk asing yang turun ke bumi daripada planet Ork menaiki kapal angkasa berbentuk telur. Di bumi, Mork bertemu dengan Mindy lakonan Pam Dawber yang akhirnya menjadi isterinya. Mork juga terkenal dengan trademarknya iaitu sering menuturkan perkataan "Nano Nano" dan juga aksi yang aneh seperti duduk dalam keadaan terbalik (kaki ke atas kepala di bawah) dan memakai pakaian terbalik.

Watak Mork sebenarnya adalah spin off daripada sebuah episod berjudul My Favorite Orkan dalam sitkom Happy Days di mana watak Ritchie lakonan Ron Howard pernah bermimpi makhluk asing bernama Mork ingin menculiknya dan membawanya kembali ke planet Ork. Itu adalah kemunculan pertama Robin Williams sebagai Mork dan watak Mork telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Ramai yang mahukan watak Mork kembali ke Happy Days. Pihak produksi muncul dengan idea yang lebih baik iaitu mewujudkan sebuah sitkom untuk Mork sendiri, maka lahirlah Mork and Mindy.

Pam Dawber yang memegang watak Mindy mengahwini aktor Mark Harmon yang kini dikenali melalui siri NCIS memegang watak Leroy Jethro Gibbs. Perkahwinan mereka berlansung pada bulan Mac 1987 dan berkekalan hingga kini.

Tiada ulasan: