Rabu, 3 Disember 2008

DEBAT TENGAH MALAM

Malam tadi berlaku perdebatan kecil antara aku dan orang rumahku. Jangan risau, perdebatan ini berlaku secara aman, tiada adegan piring terbang melayang-layang ataupun tarik-menarik rambut.

Perdebatan berlaku apabila orang rumahku yang merupakan seorang pendidik mengatakan matapelajaran sastera sudah tidak lagi relevan di sekolah. Aku yang meminati sastera (meskipun malas baca buku, haha) berasa agak 'panas hati' dan bertanya mengapa dia berkata demikian.

Jawabnya, subjek sastera dan sejarah merupakan subjek yang kurang diambil oleh para pelajar berbanding subjek lain seperti kimia, biologi dan sebagainya. Pelajar zaman sekarang kurang berminat untuk mengkaji dan menilai sebuah hasil sastera berbanding mengkofigurasi router ataupun mengkaji anatomi seekor katak.

Aku menjawab semula, padanlah remaja sekarang sudah hilang nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Yang mereka tahu semuanya direct to the point, tiada lagi berkias-kias dan tiada lagi keunikan dalam diri mereka. Mereka sudah lupa bahawa sasteralah yang telah menaikkan semangat nasionalisme sewaktu zaman penjajahan dulu. Sasteralah yang mengajar tentang peradaban, nilai moral dan budaya.

Perdebatan itu diakhiri dengan aman apabila jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam, dan lampu ditutup. Selepas itu, semuanya gelap.

Tiada ulasan: