Khamis, 6 November 2008

JIHAD SLAYER

Sekiranya lagu One persembahan Metallica telah diangkat sebagai sebuah lagu yang anti peperangan, kumpulan Slayer pula telah mencetuskan kontroversi dengan lagu mereka berjudul Jihad.

Disebabkan lagu Jihad mereka telah dikritik oleh media dan juga kalangan peminat-peminat Metal sendiri. Tambahan pula lirik lagu itu turut menyelitkan petikan ucapan Mohammed Atta, salah seorang anggota pengganas yang terlibat dalam serangan 11 September 2001.



Jihad dimuatkan dalam album Slayer yang ke-9 berjudul Christ Illusion. Lirik Jihad dilihat dari kacamata pengganas yang hendak melakukan Jihad (dalam lagu ini menggambarkan saat-saat akhir sewaktu hendak melanggar bangunan World Trade Center di New York). Lirik Jihad ditulis oleh gitaris Jeff Hanneman dan vokalisnya Tom Araya.

Lagu ini terlalu kontroversi sehingga persatuan Kristian Mumbai yang dikenali sebagai Catholic Secular Forum mendesak EMI India menarik balik dan menghentikan pengedaran album Christ Illusion di India. Lagu itu juga telah di censored sewaktu kemunculan pertama kumpulan Slayer untuk rancangan Jimmy Kimmel Live! terbitan ABC di US.

Ini bukan kali pertama lagu Slayer mencetus kontroversi, sebelum ini mereka pernah dikritik untuk lagu Angel of Death yang dimuatkan dalam album ke-3 mereka, Reign in Blood. Lagu Angel of Death dikatakan menunjukkan simpati kumpulan Slayer ke atas pergerakan Nazi dan seolah-olah mengagung-agungkan Josef Mengele, seorang doktor Nazi yang menjalankan eksperimen kepada tahanan di Kem Konsentrasi Auschwitz sewaktu Perang Dunia Kedua. Josef Mengele telah menjalankan beberapa eksperimen yang kejam ke atas tahanan dan mencabuli hak asasi manusia antaranya seperti menjalankan pembedahan tanpa menggunakan ubat bius, melemaskan tahanan dengan gas beracun, menyuntik virus merbahaya ke tubuh tahanan, pembedahan menukar jantina dan mengeluarkan organ-organ dalaman tahanan.

Lirik Angel of Death diinspirasi berdasarkan dua buah buku yang ditulis oleh Josef Mengele. Lagu ini telah mendapat kritikan dan bantahan daripada mereka yang terselamat sewaktu peristiwa Holocaust dan ahli keluarga mereka. Walaupun lagu Angel of Death begitu kontroversi, ia telah digunakan sebagai soundtrack untuk beberapa filem antaranya Gremlins 2, Jackass the Movie, Soundtrack to War dan permainan video Tony Hawk's Project 8. Ia juga pernah di cover oleh kumpulan cello metal Apocalyptica di dalam album mereka Amplified/A Decade of Reinventing the Cello.

Selain kedua-dua lagu ini, Slayer juga pernah menulis lagu mengenai pembunuh bersiri Ed Gein menerusi lagu Dead Skin Mask yang dimuatkan dalam album Season in the Abyss sementara lagu 213 dalam album Divine Intervention pula tentang apartment yang pernah dihuni oleh pembunuh bersiri Jeffrey Dahmer. Album Christ Illusion juga dikrtitik untuk layout albumnya yang memaparkan ilustrasi Jesus yang kudung kedua-dua tangannya sedang mandi di dalam lautan darah yang dipenuhi mayat. Ia dilukis oleh pelukis Larry Carrol. Pihak penerbitan kemudian menukarnya dengan layout yang baru yang hanya memaparkan gambar tangan yang berdarah. Ironiknya, lagu Eyes of the Insane yang turut dimuatkan dalam album ini telah dicalonkan dan memenangi anugerah Grammy untuk Best Metal Performance pada Grammy Awards ke-49.

Tiada ulasan: