Isnin, 3 November 2008

INSPIRASI UNTUK LAGU ONE

Pernah dengar lagu One persembahan Metallica? Tahu lagu itu berkisarkan tentang apa? Ya, tentang kecederaan dan kesengsaraan yang dialami oleh seseorang akibat peperangan, sehinggakan mangsa itu berdoa agar Tuhan mengambil nyawanya kerana tidak tahan dengan penderitaan yang dialaminya.

Lagu One dimuatkan dalam album keempat Metallica iaitu ....And Justice for All. Lagu ini telah memenangi anugerah Grammy (anugerah Grammy pertama untuk kumpulan ini) pada tahun 1990 dalam kategori Best Metal Performance.

Bagaimanakah Metallica mendapat idea untuk lagu One ini? Lagu One diinspirasikan daripada sebuah novel berjudul Johnny Got His Gun karya Dalton Trumbo. Novel ini mengisahkan seorang anggota tentera telah cedera parah dalam Perang Dunia Pertama. Anggota tentera itu telah kehilangan tangannya, kakinya, matanya, mulutnya dan telinganya dalam peperangan itu (rujuk lirik yang berbunyi "landmine has taken my sight, taken my speech, taken my hearings, taken my arms, taken my legs....").

Untuk pembikinan video klip One, Metallica telah membeli hakcipta untuk filem Johnny Got His Gun terbitan 1971 demi untuk menggunakan dialog dan beberapa adegan dalam filem berkenaan. Klip video ini juga menampilkan Timothy Bottoms, pelakon utama filem Johnny Got His Gun sebagai watak utama iaitu Joe Bonham.

Johnny Got His Gun adalah sebuah filem berkonsepkan anti peperangan yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Dalton Trumbo. Ia mengisahkan seorang tentera Amerika bernama Joe Bonham (Timothy Bottoms) telah cedera parah akibat dibom sewaktu Perang Dunia Pertama. Peristiwa ini telah menyebabkan dirinya kehilangan mata, mulut, telinga, hidung, kedua-dua tangan dan kakinya. Walaupun dia terselamat, namun hidupnya sudah tidak bermakna lagi. Dia cuba berkomunikasi dengan doktor yang merawatnya dengan menggunakan kod morse. Dia memohon agar doktor tersebut menamatkan riwayatnya. Bagaimanapun pihak tentera tidak memperkenankan permohonannya, dan dia hidup sebagai mayat yang bernyawa.

Filem ini diarahkan sendiri oleh penulis novel tersebut iaitu Dalton Trumbo dan turut dibintangi oleh Jason Robards, Donald Sutherland, Diane Varsi dan Kathy Fields. Sekiranya anda tidak dapat menonton versi asal filem ini, ia telah pun di remake oleh pengarah Rowan Joseph. Untuk filem versi 2008 ia dilakonkan oleh Benjamin McKenzie sebagai Joe Bonham, Matty Ferraro dan Meredith Kendall. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lagu One akan digunakan sebagai soundtrack untuk filem ini.

TRAILER JOHNNY GOT HIS GUN

1 ulasan:

Aku berkata...

Hohoho bro, ni satu info yang bagus, gua cuma tau lagu ni cerita pasal perang jer ... tq bro, gud info!