Sebenarnya mestikah filem seram bergantung kepada kemunculan hantu semata-mata. Sekiranya tiada hantu maka bukan seramlah filem itu. Aku masih ingat lagi dengan filem Matinya Seorang Patriot arahan Dato' Haji Rahim Razali. Matinya Seorang Patriot bukanlah filem seram, tapi teknik dan sinematografi filem ini memang membuatkan penonton berdebar-debar ketika menontonnya. Adegan ketika pembunuh menaiki tangga ingin membunuh ahli perniagaan yang dilakonkan oleh Azmil Mustaffa adalah satu adegan yang penuh suspens, membuatkan jantung aku berdetak dengan pantas. Begitu juga adegan ketika watak AV Bapat hendak dibunuh, ditambah pula dengan imej bangkai kera yang berlumuran darah, atmosferanya begitu menyeramkan. Bagi aku, Matinya Seorang Patriot adalah sebuah filem political thriller Melayu yang baik. Seandainya mayat pembunuhan itu dipaparkan dengan lebih ngeri, sudah pastilah filem ini dikategorikan sebagai filem slasher horror Melayu yang pertama.
Aziz M. Osman juga telah membuktikan bahawa tidak perlu hantu untuk membikin sebuah filem seram yang baik. Filem Trauma yang dilakonkan oleh Nasha Aziz dan Amy Mastura bagi aku adalah filem seram yang menakutkan tanpa kemunculan sebarang hantu atau jembalang. Nasha Aziz berjaya membawakan watak seorang psikopath yang ingin membalas dendam terhadap Amy Mastura atas kematian suaminya. Adegan sewaktu Sharifah Aleya memerhatikan keadaan sekeliling rumahnya melalui kamera video juga merupakan adegan yang berjaya membuatkan aku melompat kerana terkejut. Aziz M. Osman berjaya membikin sebuah filem Melayu dengan pengaruh Hitchcock menerusi Trauma.
Zombi Kampung Pisang juga bagi aku adalah satu pembaharuan untuk filem seram Malaysia. Aku rasa Mamat Khalid cuba untuk 'mengejek' masyarakat Melayu yang percaya pada jampi serapah setiap kali bertemu sesuatu yang pelik dan menakutkan, tanpa memikirkan ada sebab musabab yang lain (seperti virus, epidemik dan sebagainya). Ini adalah pendapat aku sendiri, mungkin pendapat abang Mamat lain, jadi maafkan aku sekiranya bercanggah. Oh, ya, filem Zombi Kampung Pisang juga bukan filem hantu walaupun ia memaparkan mayat hidup dengan wajah hodoh dan mengerikan.
Wah, entri ini menujukkan seolah-olah aku ini begitu 'pandai'. Bukan niat aku untuk menunjuk pandai atau memandai-mandai tapi aku rasa kena ada juga anjakan paradigma dalam filem seram di Malaysia. Takkan asyik nak tonton filem tentang Nenek Kebayan, tentang Pontianak, tentang Hantu Raya je, cuba-cubalah pula buat filem seram tentang mutasi ke, pembunuh bersiri ke, serangan binatang ke (rujuk filem Cujo, The Birds, Jaws). Sebenarnya banyak lagi isu menarik yang boleh dijadikan plot filem seram, bukan setakat hantu sahaja. Akhir kata, semoga filem Melayu semakin maju untuk negara.
2 ulasan:
Catat Ulasan