Selasa, 4 November 2008

FILEM SERAM DI MALAYSIA, KENAPA MESTI KISAH HANTU? BAHAGIAN 1

Drama Kekasihku Seru di TV3 telah pun ditamatkan dengan penghujungnya masih lagi terbuka untuk sambungan (mungkin ada musim kedua) dan drama seram terbaru pula akan mengisi slot Seram. Judul drama seram terbaru yang akan muncul ialah Puaka Niyang Rapik.

Daripada teaser dan trailer yang ditayangkan oleh TV3 menggambarkan drama ini sebuah drama seram berkonsep supernatural dan mempunyai unsur-unsur mistik. Selain daripada aktiviti sihir dan bomoh dalam drama ini, sudah pastilah ia akan menonjolkan imej hantu dan jembalang yang menyeramkan.
Mungkin sudah jadi sinonim sejak dari zaman perfileman Jalan Ampas lagi filem-filem seram Melayu lazimnya akan memaparkan kisah-kisah hantu dan ilmu hitam. Malahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga tidak ketinggalan dengan dua buah filem seramnya iaitu Sumpah Orang Minyak dan Si Tora Harimau Jadian yang berkait rapat dengan unsur-unsur mistikal dan mitos Melayu. Filem Panca Delima dikecualikan kerana walaupun menampilkan elemen supernatural seperti ular jadian, ilmu sihir dan magik, ia lebih merupakan sebuah cerita dongeng fantasi daripada sebuah filem seram.

Tidak dinafikan semua ini adalah kerana menebalnya pengaruh hantu syaitan dalam adat-istiadat dan kepercayaan orang Melayu. Adat-adat seperti menyemah rumah sebelum diduduki, memepercayai keramat masih lagi dilakukan walaupun kesedaran terhadap Islam tentang amalan-amalan khurafat dan syirik ini telah mula meluas. Ini juga merupakan salah satu faktor kenapa penggiat filem seram Melayu lebih suka mengambil kisah-kisah seperti ini sebagai jalan cerita, kerana ia lebih senang difahami oleh masyarakat Melayu amnya, dapat menarik minat penonton tambahan pula sekiranya ia dikatakan berdasar pada kisah benar.

Tidak salah sekiranya filem-filem sebegini yang dipaparkan kerana filem-filem seram daripada Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Filipina malahan daripada Barat sendiri sering memasukkan unsur-unsur supernatural dan hantu dalam filem mereka. Cuma sekiranya sudah terlalu banyak kita disogokkan dan disuapkan dengan kisah yang hampir sama, sudah pasti ia memualkan. Contohnya di Malaysia, sudah begitu banyak kisah hantu yang difilemkan dan ditayangkan tetapi lebih kurang sama menyebabkan rasa seram terhadap sesebuah filem itu mulai pudar.

Filem Jangan Pandang Belakang arahan Ahmad Idham telah dinobatkan sebagai filem terlaris di Malaysia sepanjang 2007. Tidak keterlaluan juga sekiranya dikatakan inspirasi untuk memfilemkan Jangan Pandang Belakang tercetus setelah kejayaan filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba pada tahun 2004. Sebelum itu ada juga beberapa filem seram seperti Mistik, Di Ambang Misteri dan Makar ditayangkan di pawagam tetapi gagal menjadi box-office.

Cuma persoalannya, mengapakah mesti ada imej hantu yang hodoh dan menjijikkan dalam filem seram Melayu? Mengapa tidak digunakan unsur lain sebagai faktor untuk menakutkan penonton? Cuba lihat contoh filem Christine arahan John Carpenter ataupun Ghost in the Machine arahan Rachel Talalay, walaupun kedua-dua filem ini tetap berlatarkan hantu, ia ditunjukkan dalam bentuk lain. Di dalam filem Christine, ia digambarkan dalam bentuk kereta klasik Plymouth Fury tahun 1958. Di dalam novel Christine karya Stephen King, Christine mungkin dirasuk oleh roh Roland LeBay, pemilik asal kereta itu manakala di dalam filem pula, Christine digambarkan seolah-olah memiliki nyawanya sendiri. Filem Ghost in the Machine (1993) roh seorang pembunuh bersiri bernama Karl Hochman telah dipindahkan secara tidak sengaja oleh litar pintas ke dalam komputer. Ini menyebabkan roh Hochman boleh bergerak melalui litar elektrik dan membunuh mangsanya apabila ia merasuk mesin dan perkakas elektrik. Nah, bukankah ia sesuatu yang menarik meskipun ia tetap sebuah cerita hantu.

6 ulasan:

Aku berkata...

Entah yek, imej seram ni boleh timbulkan kesan kot? Wa paling suka bila tengok ceta The Eye yang first tu, unsur seram dia lebih menjadi dgn tanpa perlu pada mekap n imej2 yang mengerikan, cukup dengan unsur2 saspens serta muzik latar yang sesuai. Terkujat wa tgk tu, nak2 bila masa amoi tu dalam lif. Maknanya mainan angle dlm filem seram ni penting kan? Wa tatau ler apa tu ... sinematografi haaaa ... centu kot gaknyer ... Tapi sesekali wa ingat ceta hantu jerangkung mak esah masa kecik2 dulu, takut wooo masa tu, tapi bila dah besar tgk balik, chesssss aku kena tipu, wa kenaaaa beb! hahaha ... ada ke patut hantu jerangkung main cat kat badan ...

cerpelai berkata...

Salam..

Teruja dengan pendapat dan ulasan bro ni..!!
Secara keseluruhannya gua setuju dengan apa yang ditulis di sini..
Gua pun nak mintak kebenaran untuk link'kan blog bro ni ke blog gua..

Salam..

zulazahari berkata...

Geng Metal, tq

Cerpelai, tq dan dibenarkan

Ajami Hashim berkata...

kau dah tengok DORM (Thailand) ~ filem hantu budak yg bertukar menjadi melodrama di tgh2 yg best giler!

zulazahari berkata...

Ajami, aku pernah tonton Dorm, memang aku pun tak sangka ia akan pergi ke arah itu. Kau dapat inspirasi filem tu ker untuk Sumpah

Ajami Hashim berkata...

sikittt laa.. drama hindustan versi horror melayu! hahaha!