Jumaat, 14 November 2008

Abahku, Malim Ghozali PK dan Ke Dusun Nenek


"Ye ke? Selama ini tak pernah cerita pun?" Itulah reaksi ku kepada abahku apabila abah memberitahu Malim Ghozali PK, penulis buku Janji Paramatibo yang terkenal itu adalah rakannya sejak bangku sekolah lagi.


Aku tahu abah memang rapat dengan penulis Baharuddin Kahar, sewaktu aku kecil kerap juga aku berjumpa dengan beliau. Tetapi aku tak menyangka Hj Mohamed Ghozali Hj. Abd. Rashid juga merupakan rakan karibnya.


Patutlah abah begitu minat menulis sewaktu mudanya, mungkin terpengaruh dengan tabiat rakan-rakannya yang menjadi penulis. Mungkin aku juga terpengaruh dengan tabiat abahku, cuma masaku untuk berkarya agak terhad kerana pekerjaanku yang begitu kontra dengan dunia penulisan.


Abah pernah menghasilkan novel sulungnya, Ke Dusun Nenek. Mungkin juga novel yang terakhir kerana nampaknya abah sekarang seolah-olah tidak peduli lagi dengan dunia penulisan. Aku pernah bertanya abah kenapa enggan menulis lagi, "letih," jawabnya. Katanya selepas bersara menjadi pendidik dia hanya ingin menumpukan pada keluarga.


Novel kanak-kanak Ke Dusun Nenek tidak mendapat sambutan kerana beberapa masalah. Mungkin juga kerana abah menyelitkan unsur-unsur mistik dalam jalan ceritanya menyebabkan ia dianggap sebagai cerita tahyul ataupun kisah seram. Padahal unsur mistik itu begitu sedikit kalau nak dibandingkan dengan novel Bercakap Dengan Jin yang begitu popular suatu masa dahulu.


Ceritanya mengisahkan tiga orang sahabat yang menghabiskan cuti sekolah di sebuah kampung. Mereka seronok mandi sungai, makan buah-buahan di dusun dan menangkap ikan. Suatu hari salah seorang daripada mereka telah dipatuk ular. Nenek pelajar yang dipatuk ular tersebut telah menggunakan cara mistikal iaitu dengan menyeru semua jenis ular yang ada di kampung itu datang mengambil semula bisanya. Ular yang mematuk kanak-kanak itu datang dan mengambil semula bisanya lalu mati. Kanak-kanak itu sembuh semula dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.


Mungkin itu sebabnya kenapa novel ini seolah-olah digantung daripada diedarkan ke perpustakaan-perpustakaan sekolah. Padahal kisah bomoh ular itu bukanlah fokus utama, hanya untuk menyedapkan cerita. Sebaliknya kisah percutian kanak-kanak itu kisah utama novel ini. Aku tersenyum bila membaca cerita The Body karya Stephen King (yang diadaptasi menjadi filem Stand By Me) kerana cerita abah pun tidak kurang hebatnya, dan abah tidak pernah membaca novel-novel Stephen King.

Tiada ulasan: