Selain dari filem-filemnya, siri James Bond juga terkenal dengan lagu-lagu temanya yang sering menjadi hits. Bermula dari filem Dr. No pada tahun 1962 sehinggalah kepada filem terbarunya Quantum of Solace yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Lagu-lagu tema siri Bond telah dinyanyikan oleh artis dari pelbagai genre daripada Jazz sehinggalah kepada Rock, cuma lagu-lagu bergenre Metal dan Hip-Hop masih belum dibikin lagi, mungkin Metallica akan merakamkan satu lagu untuk filem James Bond pada masa akan datang, siapa tahu, mereka pernah menghasilkan sebuah lagu untuk filem Mission Impossible II, tidak mustahil mereka akan menghasilkannya untuk filem James Bond pula.
James Bond Theme, muzik tema yang begitu sinonim dengan babak Bond berjalan sambil diperhatikan melalui 'gun barrel' telah menjadi trademark untuk filem Bond, dan juga begitu popular untuk dijadikan spoof bagi filem-filem lain, khususnya filem komedi (iklan Harpic Afdlin Shauki pun spoof babak ini juga). Muzik tema ini telah dicipta dan digubah oleh penyanyi dan komposer British bernama Monty Norman untuk filem Dr. No. Seterusnya lagu ini dijadikan lagu pengenalan untuk semua siri filem Bond dengan rentak dan irama yang berbeza (kecuali filem Never Say Never Again). Walaupun kredit diberikan pada Monty Norman untuk muzik tema Bond, namun John Barry adalah komposer yang telah menggubah muzik tema ini untuk filem-filem Bond seterusnya, sehingga diambil alih oleh David Arnold pada tahun 1997 untuk filem Tomorrow Never Dies.
Kingston Calypso - Dr. No.
Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Byron Lee & The Dragonaires, sebuah kumpulan dari Jamaica yang berkonsepkan ska, calypso dan soca.
From Russia With Love - From Russia With Love
Lagu ini dicipta oleh Lionel Bart dan dinyanyikan oleh Matt Monro, seorang penyanyi British. Matt Monro meninggal dunia pada tahun 1985 akibat kanser paru-paru.
Goldfinger - Goldfinger
Lagu ini dicipta oleh John Barry dan dinyanyikan oleh penyanyi Jazz British, Shirley Bassey. Shirley Bassey kemudiannya menyanyikan dua buah lagi lagu tema filem Bond. Lagu ini diterbitkan oleh George Martin, penerbit album-album The Beatles.
Thunderball - Thunderball
Lagu ini dicipta oleh John Barry dan dinyanyikan oleh penyanyi bersuara macho, Tom Jones. Pada asalnya lagu ini diberi tajuk Mr. Kiss Kiss, Bang Bang dan dinyanyikan oleh Shirley Bassey. Kemudian penyanyi Dionne Warwick pula merakamkan lagu ini tetapi tidak digunakan. Lagu dan liriknya digubah semula dan diberikan tajuk Thunderball dan dinyanyikan oleh Tom Jones. Penyanyi country Johnny Cash juga ada mencipta sebuah lagu untuk filem ini tetapi tidak digunakan.
You Only Live Twice - You Only Live Twice
Lagu dicipta oleh John Barry dan dinyanyikan oleh Nancy Sinatra, anak perempuan penyanyi Frank Sinatra. Lagu ini telah kemudiannya telah di 'cover' oleh penyanyi Arab, Natacha Atlas untuk albumnya The Best of Natacha Atlas pada tahun 2005. Penyanyi Iceland, Bjork juga pernah membuat cover version untuk lagu ini manakala penyanyi pop Robbie Williams pula menggunakan muzik lagu ini sebagai sample untuk lagunya Millenium. Walaupun Shirley Bassey tidak merakamkan lagu untuk filem ini namun dia telah menyanyikan semula lagu You Only Live Twice di dalam albumnya Get The Party Started pada tahun 2007.
We Have All the Time in the World - On Her Majesty's Secret Service
Lagu ini agak kurang diketahui kerana ia tidak disiarkan sewaktu opening credit, sebaliknya ia disiarkan pada pertengahan cerita, sewaktu watak James Bond bercinta dengan watak Tracy di Vicenzo yang akhirnya menjadi isteri Bond dalam filem ini. Bagaimanapun Tracy mati pada akhir cerita kerana dibunuh oleh musuh ketat Bond, Ernst Stavro Blofeld. Sebelum Tracy menghembuskan nafas terakhir, Bond sempat melafazkan perkataan "we have all the time in the world" yang telah menjadi judul lagu ini. Lagu ini dicipta oleh John Barry dan dinyanyikan oleh penyanyi Jazz Louis Armstrong. Ini merupakan rakaman terakhir Louis Armstrong kerana beliau meninggal dunia dua tahun kemudian kerana sakit jantung. Meskipun lagu ini agak kurang diketahui namun ia begitu popular di kalangan band-band Indie dan Alternatif dan telah di cover versionkan oleh band My Bloody Valentine, Iggy Pop, Fun Lovin' Criminals dan Tinderstick. Malahan cover version oleh Iggy Pop telah dijadikan soundtrack untuk filem seram psikologikal The Jacket.
Diamonds Are Forever - Diamonds Are Forever
Lagu kedua dendangan Shirley Bassey dan dicipta oleh John Barry. Penerbit filem ini iaitu Harry Saltzman tidak menggemari lagu ini. Lagu ini kemudiannya telah di 'sample' oleh penyanyi rap Kanye West dalam single nya Diamonds from Sierra Leone. Walaupun Kanye West tidak memberikan sebarang kredit kepada Shirley Bassey dalam layout CD nya, Shirley Bassey dikatakan agak kagum dengan persembahan West dan merancang untuk berduet bersamanya suatu masa nanti. Kumpulan hip-hop Dead Prez juga telah menggunakan lagu ini sebagai sample untuk lagu mereka berjudul Psychology. Kumpulan rock Arctic Monkeys pula telah menggubah semula lagu ini untuk persembahan mereka di Festival Glastonbury 2007.
Live and Let Die - Live and Let Die.
Satu-satunya lagu filem Bond yang dicipta oleh bekas anggota The Beatles, Paul McCartney. Lagu ini juga dinyanyikan oleh McCartney bersama kumpulannya Wings. John Barry tidak terlibat dengan pembikinan skor filem ini sebaliknya disandang oleh bekas penerbit The Beatles iaitu George Martin. Lagu ini juga merupakan lagu tema Bond yang pertama bergenre rock. Lagu ini mendapat tempat kedua dalam carta lagu popular US selama tiga minggu dan nombor 9 di UK. Kumpulan heavy metal Guns 'n' Roses telah merakamkan semula lagu ini pada tahun 1991 di dalam album Use Your Illusion Pt 1. Pada tahun 2005, ia telah dipersembahkan secara live oleh Paul McCartney sewaktu separuh masa di perlawanan Super Bowl XXXIX.
The Man with the Golden Gun - The Man with the Golden Gun
John Barry kembali mencipta lagu untuk filem Bond. Kali ini ia dinyanyikan oleh penyanyi, model, pelakon dan personaliti TV British bernama Lulu. Pada mulanya penyanyi rock Alice Cooper turut mencipta sebuah lagu berjudul yang sama dan ingin dimuatkan sebagai soundtrack filem ini, bagaimanapun ditolak oleh pihak penerbitan. Lagu dendangan dan ciptaan Alice Cooper ini dimuatkan dalam albumnya berjudul Muscle of Love pada tahun 1973.
Nobody Does It Better - The Spy Who Loved Me
Sebuah lagi lagu yang kurang diketahui. Nobody Does It Better dicipta oleh Marvin Hamslich dan dinyanyikan oleh penyanyi ballad Carly Simon. Berbeza dengan lagu We Have All the Time in the World yang dimuatkan dalam filem On Her Majesty's Secret Service, lagu ini disiarkan pada opening title, cuma judul lagunya berbeza dengan judul filem. Selain filem ini, lagu ini juga telah dijadikan soundtrack untuk beberapa filem antaranya Mr and Mrs Smith, Little Black Book, Lost in Translation dan Bridget Jones: The Edge of Reason. Lagu ini juga pernah dinyanyikan semula oleh pelakon Adam Sandler di MTV Movie Awards (bagaimanpun liriknya telah ditukar mengikut kesesuaian Adam Sandler). Kumpulan punk Me First and the Gimme Gimmes pula telah menukarkan lagu ini kepada versi punk rock.
Moonraker - Moonraker
Sebelum Shirley Bassey diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan lagu ini, beberapa penyanyi lain telah dipilih untuk menyampaikannya. Antaranya ialah Kate Bush, Frank Sinatra dan Johnny Mathis. Johnny Mathis dikatakan tidak berpuas hati dengan lagu ini dan menarik diri. Akhirnya Shirley Bassey merakamkannya. Lagu ini ciptaan John Barry.
For Your Eyes Only - For Your Eyes Only
Lagu yang telah menaikkan nama penyanyi pop Sheena Easton. Sheena Easton juga merupakan penyanyi pertama yang muncul dalam filem ini menyanyikan lagu tema. Lagu ini dicipta oleh Bill Conti. Sebelum lagu Bill Conti digunakan, kumpulan rock Blondie telah menghasilkan sebuah lagu dengan judul yang sama tetapi tidak digunakan. Lagu itu kemudiannya dimuatkan dalam album Blondie berjudul The Hunter.
All the Time High - Octopussy
Sebuah lagi lagu yang mana judulnya tidak sama dengan judul filem. Lagu ini dicipta oleh John Barry dan didendangkan oleh Rita Coolidge.
A View to a Kill - A View to a Kill
Kolaborasi bersama John Barry dan kumpulan new wave Duran Duran. Lagu ini merupakan lagu Bond yang paling gemilang. Lagu ini pernah dicalonkan untuk kategori Lagu Original Terbaik dalam Golden Globe Award tahun 1986. Lagu ini pernah dirakamkan semula oleh kumpulan rock Lostprophets, kumpulan punk Gob, kumpulan indie Custard dan kumpulan death metal Diablo.
The Living Daylights - The Living Daylights
Sebuah lagi lagu tema Bond yang berentak pop dan new wave. Kali ini ia dipersembahkan oleh a-ha. Berbeza dengan lagu A View to a Kill di mana komposer John Barry dapat bekerjasama dengan Duran Duran, untuk lagu ini kolaborasi antara Barry dan a-ha tidak serasi. Ini menyebabkan lagu ini terbahagi kepada dua versi, versi John Barry dan versi a-ha. Versi a-ha telah dimuatkan dalam album mereka berjudul Stay on These Roads terbitan tahun 1988.
Licence to Kill - Licence to Kill
Lagu tema Bond yang pertama dicipta dan digubah oleh Michael Kamen. Lagu ini dipersembahkan oleh penyanyi R&B, Gladys Knight.
GoldenEye - GoldenEye
Lagu ini dicipta oleh Bono dan The Edge daripada kumpulan U2. Ia dinyanyikan oleh Tina Turner. Lagu ini menduduki tempat ke-10 dalam carta lagu UK. Kumpulan pop dance Ace of Base juga menghasilkan sebuah lagu dengan judul yang sama tetapi tidak digunakan dalam filem ini. Lagu ini kemudiannya ditukar lirik dan judulnya diubah menjadi The Juvenile, dimuatkan dalam album mereka berjudul Da Capo pada tahun 2002.
Tomorrow Never Dies - Tomorrow Never Dies
Sebuah lagu ciptaan dan nyanyian penyanyi folk rock, Sheryl Crow. Lagu ini mendapat tempat ke-12 dalam carta UK Top 20 pada tahun 1997. Lagu ini turut dicalonkan untuk Best Original Song pada Golden Globe Awards tahun 1998 tetapi tewas kepada lagu tema filem Titanic, My Heart Will Go On nyanyian Celine Dion. Lagu ini juga tewas kepada lagu yang sama dalam Grammy Awards pada tahun 1999.
The World is Not Enough - The World is Not Enough
Lagu ciptaan David Arnold dan dipersembahkan oleh kumpulan rock Garbage.
Die Another Day - Die Another Day
Lagu ciptaan dan dendangan Madonna. Entah kenapa, lagu ini dikatakan lagu paling buruk dalam kebanyakan lagu-lagu tema Bond. Meskipun ia dicalonkan untuk kategori Best Original Song pada Golden Globe Awards tahun 2002, ia juga dicalonkan untuk kategori Worst Original Song pada Golden Raspberry Awards tahun yang sama. Madonna turut muncul dalam filem ini memegang watak sebagai Verity, jurulatih sukan pedang.
You Know My Name - Casino Royale
Kolaborasi antara David Arnold dan Chris Cornell, bekas vokalis kumpulan Soundgarden dan Audioslave.
Another Way to Die - Quantum of Solace
Lagu ini dicipta oleh Jack White (gitaris dan vokalis band The White Stripes) dan dinyanyikan oleh penyanyi R&B Alicia Keys bersama Jack White. Ini merupakan lagu duet pertama yang menjadi lagu tema filem Bond.
2 ulasan:
Lagu james bond yg d cover oleh penyanyi arab natacha atlas mmg power, saya sudah pun memiliki album THE VERY BEST OF NATACHA, by the way artikel awk sunguh cantik
Terima kasih, terima kasih, terima kasih, anda telah membuat saya tersenyum hingga ke telinga. :]
Catat Ulasan