Rabu, 3 September 2008

SEBUAH KISAH UNTUK BACAAN ANDA


Kisah ini berlaku pada zaman dahulu, terdapat seorang wanita tua yang mempunyai dua bekas air. Wanita tersebut mengandar dua bekas air itu di bahunya. Salah sebuah daripada pasu tersebut telah retak sedikit sementara pasu yang satu lagi masih elok keadaannya dan air selalu dapat diisi dengan penuh.

Disebabkan perjalanan yang agak jauh dari sungai ke rumahnya, pasu yang retak tersebut hanya dapat sampai dengan air yang separuh penuh sahaja. Keadaan ini berlaku setiap hari selama dua tahun, wanita tua itu hanya dapat membawa satu setengah pasu air sahaja ke rumah. Semestinya pasu yang sempurna itu sangat berbangga dengan pencapaiannya, manakala pasu yang retak itu sangat malu dengan kekurangannya dan merasa sedih kerana ia hanya mampu membawa separuh air dari sepatutnya.

Setelah dua tahun berlalu dengan kepahitan dan kegagalan, pasu retak tersebut telah berbual dengan wanita tua itu di tepi sungai.

"Aku rasa sangat malu dengan diriku, kerana diriku yang retak ini menyebabkan air tertumpah di sepanjang perjalanan ke rumahmu."

Wanita tua itu tersenyum, "sedarkah kamu akan bunga-bunga di bahagian laluan kamu, tetapi tidak di laluan pasu yang satu lagi?"

"Itu kerana aku selalu menyedari kekurangan dirimu, oleh itu, aku telah menyemai benih-benih bunga di bahagian laluan kamu. Setiap hari apabila kita pulang dari sungai, tanpa kamu sedari, kamu telah menyiram benih-benih bunga itu."

"Selama dua tahun, aku berpeluang untuk memetik bunga-bunga yang cantik ini untuk menghiasi meja. Sekiranya kamu tidak menjadi dirimu sendiri, mungkin tiada keindahan sebegini di rumah ini."

Setiap kita mempunyai kekurangan yang tersendiri. Tetapi, keretakan dan kekurangan kita itulah yang menjadikan perkongsian hidup kita sangat menarik dan bermanfaat. Anda perlu menerima setiap manusia seadanya dan melihat kebaikan di dalam diri mereka. Moral daripada cerita ini kedua-dua buah pasu itu sebenarnya telah berjasa kepada wanita tua itu. Pasu yang elok telah memberikan bekalan air yang mencukupi kepadanya manakala pasu yang retak telah membantu menyirami benih-benih bunga di sepanjang jalan menuju ke rumahnya.

Kepada sahabatku dan para pembaca sekalian, semoga hari anda ceria dan ingatlah untuk mencium bau bunga-bungaan di laluan anda. Dan Allah sentiasa mengetahui akan kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan meskipun sebesar zarah.


*Dipetik daripada e-mail, entah siapa penulisnya tidak aku ketahui tetapi kisah ini memang bagus dijadikan teladan.

Tiada ulasan: