Jumaat, 8 Ogos 2008

INDIANA JONES DAN MAKAM MAHARAJA

Aku tertanya-tanya kenapakah Steven Spielberg dan George Lucas tidak terfikirkan tentang tentera Terra Cotta dan maharaja China Shih Huang Ti untuk plot baru filem Indiana Jones? Sebaliknya idea itu digunakan di dalam The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor. Sebenarnya ada cerita menarik yang aku ingin kongsikan bersama.

Pada tahun 2003, LucasArts, milik penerbit Indiana Jones iaitu George Lucas telah mengeluarkan satu permainan video berjudul Indiana Jones and the Emperor's Tomb. Permainan video ini berkonsepkan cerita mengisahkan pengembaraan Indiana Jones sebelum kisah yang berlaku dalam filem Indiana Jones and the Temple of Doom.

Pada tahun 1935, Indiana Jones telah mengembara ke Sri Lanka untuk mencari sebuah patung yang dikenali sebagai Kouru Watu. Indiana Jones telah ditahan oleh tentera-tentera Nazi yang diketuai oleh Albrecht Von Beck. Indiana Jones berjaya melepaskan diri apabila tentera-tentera Nazi ini diserang oleh seekor buaya gergasi. Tiba di universiti, Indiana Jones telah didatangi oleh dua orang wakil kerajaan China iaitu Marshall Kai Ti Chan dan pembantunya Mei Ying. Mereka memberitahu tentang sejenis permata hitam digelar Heart of the Dragon yang dikebumikan bersama Maharaja China yang pertama iaitu Shi Huang Ti. Mei Ying memecahkan patung Kouru Watu yang ditemui di Sri Lanka dan di dalamnya terdapat cebisan kaca digelar Mirror of Dreams, artifak yang dapat digunakan sebagai panduan untuk menjejaki dan memasuki makam Maharaja.

Indy kemudian pergi ke Prague, Belanda untuk mencari cebisan kedua Mirror of Dreams tetapi telah ditahan oleh askar-askar Von Beck. Indy telah dibawa ke Istanbul, Turki dan dibebaskan oleh Mei Ying. Indy kemudian ke Belisarius dan menemui cebisan terakhir Mirror of Dreams. Indy bertemu Mei Ying dan Mei Ying memberitahu Kai telah bekerjasama dengan pihak Nazi untuk mendapatkan permata Heart of the Dragon. Mereka ke Hong Kong dan membuat satu pertemuan dengan Wu Han (watak yang terdapat dalam filem Indiana Jones and the Temple of Doom) di Golden Lotus Opera House. Sewaktu menunggu kedatangan Wu Han, Mei Ying telah diculik oleh konco-konco Kai. Indy dan Wu Han mengejar mereka sehingga ke pelabuhan dan mendapati Kai sedang menuju ke sebuah pulau. Indy kemudian menaiki tongkang mengikuti Kai.

Indy berjaya ke puncak Gunung Penglai, di mana terdapatnya Kubu Naga Hitam. Kubu tersebut dikawal oleh kembar Feng. Selepas berjaya membunuh kembar tersebut, Indy terjatuh ke dalam lubang yang menuju ke kuil Kong Tien. Di dalam kuil itu Indy menemui sejenis senjata seperti boomerang digelar Pa Cheng. Indy terjumpa Kai sedang menyusun cebisan-cebisan Mirror of Dreams dan menjadikan Mei Ying sebagai korban kepada syaitan bernama Kong Tien. Indy membebaskan Mei Ying dan merampas Mirror of Dreams daripada Kai. Mereka melarikan diri menuju ke makam Maharaja.

Mereka telah dikejar oleh Von Beck dan Kai yang menaiki kereta kebal. Mereka kemudian memasuki portal yang boleh merentasi dimensi. Setelah merentasi portal tersebut mereka tiba di Tembok Besar China dan menemui makam Maharaja. Mereka memasuki makam tersebut dan menemui mayat maharaja Shi Huang Ti. Apabila Indy mengambil Heart of the Dragon, Maharaja tersebut bangun. Kai merampas permata tersebut daripada Indy yang sedang terkejut atas kebangkitan Maharaja Shi Huang Ti. Kai menyeru seekor naga menggunakan permata Heart of the Dragon untuk membunuh Indy dan Mei Ying. Indy pula menggunakan senjata Pa Cheng untuk mempertahankan dirinya dan berupaya merampas kembali permata Heart of the Dragon dari tangan Kai. Kai sebaliknya telah dibunuh oleh naga itu manakala Indy dan Mei Ying melarikan diri.

Apabila tiba di Hong Kong, Wu Han memberitahu Indy bahawa Lao Che (satu lagi watak daripada filem The Temple of Doom) telah mengupah mereka untuk mencari artifak China bernama Nurhachi yang telah membawa kepada permulaan filem Indiana Jones and the Temple of Doom.

Nah! Bukankah plot ini lebih menarik daripada makhluk asing dalam filem keempat Indiana Jones. Andainya Spielberg dan Lucas mengambil cerita ini, sudah pasti The Mummy akan menggunakan pula idea mummy dari angkasa lepas, huhu. Oh ye, latar masa kisah ini pada tahun 1935 manakala latar masa filem ketiga The Mummy adalah pada tahun 1947, bermakna Indy yang lebih dahulu menemui makam Maharaja sebelum Alex O'Connell.

Kemusykilan aku, apa jadi pada Maharaja Shi Huang Ti yang sudah bangun dan ke mana menghilangnya Von Beck? Mungkin jawapannya ada dalam filem The Mummy kot?

*Sumber dari Wikipedia

Tiada ulasan: