Selasa, 24 Jun 2008

TUNGGULAH ABAH BALIK NANTI!

Sebelum kemunculan siri animasi The Simpsons, terdapat sebuah siri animasi yang hampir menyamai konsep siri The Simspons iaitu siri animasi Wait Till Your Father Gets Home.


Siri ini diterbitkan oleh Hanna-Barbera, syarikat yang menerbitkan siri animasi popular di kalangan kanak-kanak seperti Scooby Doo, The Flintstones dan The Jetsons. Bagaimanapun siri Wait Till Your Father Gets Home agak lari dari siri-siri animasi lain yang diterbitkan oleh Hanna-Barbera kerana ia lebih memaparkan realiti dan juga beberapa isu-isu sensitif seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya.

Siri ini diterbitkan pada tahun 1972 dan ditayangkan di Malaysia pada awal 80'an. Siri ini berkisar pada keluarga Boyle yang agak kelam-kabut (lebih kurang sama dengan siri The Simpsons).


Keluarga Boyle terdiri daripada Harry sebagai ayah yang merupakan seorang pengedar perkakas restoran, isterinya Irma, anak perempuannya yang gempal iaitu Alice, anak lelakinya Chet yang merupakan seorang penganggur dan anak lelaki bongsunya, Jamie. Siri ini juga memaparkan jurang generasi antara Harry dan anak-anaknya. Harry digambarkan sebagai seorang ayah yang mempunyai pemikiran konservatif manakala anak-anaknya terpengaruh dengan gaya hidup Amerika waktu itu. Anak perempuannya Alice digambarkan sebagai seorang gadis liberal tahun 70'an manakala anak lelakinya Chet adalah seorang hippi.

Jadi, jika anda fikir siri animasi The Simpsons dan South Park adalah siri animasi yang 'advanced', siri Wait Till Your Father Gets Home adalah perintisnya.

Tiada ulasan: