Isnin, 16 Jun 2008

ONE TWENTY SPECIAL


Lagu Poison nyanyian Alice Cooper adalah lagu penamat untuk rancangan One Twenty Special kelolaan DJ Saidi Ahmad

Sewaktu aku berada di Tingkatan Empat, bahang kehangatan Rock masih terasa walaupun kegilaan Rock di Malaysia dikatakan tercetus selepas konsert Battle of the Bands pada tahun 80'an, kalau tak salah aku sewaktu itu aku berada dalam darjah lima di sekolah rendah.

Akibat imej-imej rockers yang dikatakan agak ekstrim pada waktu itu, berambut panjang, memakai celak, seluar dan baju koyak rabak (imej ini digambarkan semula oleh pengarah Mamat Khalid dalam filem Rock) Rock bukanlah 'TV and radio friendly'. Agak sukar hendak menonton dan mendengar lagu-lagu berentak hard rock dan heavy metal ketika itu. Kalau ada pun disiarkan di kaca TV lazimnya untuk rockers di Malaysia perlu mengikat rambut dan memasukkan rambut ke dalam baju kerana larangan dikenakan kepada rockers yang berambut panjang untuk muncul di kaca TV. Kumpulan Wings dan Search telah di'haram'kan daripada muncul di RTM dan lagu-lagu mereka juga tidak dibenarkan untuk dimainkan di radio kerana mereka enggan mematuhi syarat yang telah dikenakan supaya mereka memotong rambut. Kumpulan Wings dan Search hanya dapat muncul di stesen TV swasta sahaja iaitu TV3 (satu-satunya stesen TV swasta pada waktu itu).

Disebabkan kurangnya lagu-lagu berentak hard rock dan heavy metal dimainkan di radio dan TV menyebabkan banyak artis-artis rock merakamkan sebuah lagu yang dikenali sebagai 'killer song' di setiap album. Killer song adalah lagu yang berentak slow rock yang agak radio friendly. Dengan adanya killer song ini maka bertambahlah lagu-lagu 'cintan' dan 'jiwang' yang berkumandang di radio.

Lagu-lagu rock antarabangsa sudah pastilah tidak dapat dimainkan lansung. Memang agak janggal pada waktu itu kalau mendengar lagu-lagu rock 'orang putih' dimainkan di radio. Cuma pada hari Ahad aku pasti akan duduk di sisi radio mendengar siaran Radio 4 (sekarang Traxx FM) kerana pada hari itu rancangan One Twenty Special akan disiarkan dan dikendalikan oleh DJ Saidi Ahmad.

Apa istimewanya rancangan One Twenty Special kelolaan Saidi Ahmad ini? Hanya melalui rancangan yang dikendalikan oleh Saidi Ahmad sahaja aku berpeluang untuk mendengar lagu-lagu rock (sekarang dikenali sebagai Glam Rock) disiarkan di radio (aku tak berpeluang membeli kaset-kaset rock pada waktu itu kerana aku masih lagi belajar dan ayahku agak 'straight'). Kalau DJ lain yang bertugas, jangan haraplah, cuma lagu New Kids on the Block dan lagu Tommy Page sahaja yang akan berkumandang.

Walaupun One Twenty Special memutarkan lagu-lagu rock yang agak 'rare' di radio pada waktu itu, ia cuma memutarkan lagu-lagu daripada 'band-band' rock yang agak ringan seperti Bon Jovi, Whitesnake, Scorpions dan sebagainya. Lagu-lagu daripada band-band seperti Metallica, Slayer, Anthrax tidak dimainkan, mungkin kerana terlalu ekstrim pada masa itu. Rancangan ini dinamakan One Twenty Special kerana ia memakan masa selama 120 minit. Untuk lagu penamat, 'trademark' Saidi Ahmad adalah dengan memainkan lagu Poison daripada Alice Cooper.

Di mana Saidi Ahmad sekarang? Saidi Ahmad pernah menjadi pembaca berita RTM beberapa tahun yang lalu. Adakah beliau masih bekerja dengan RTM aku tidak pasti tapi bagi aku dia adalah DJ rockers yang aku minati.

Tiada ulasan: