Khamis, 15 Mei 2008

SENI MENURUT ZUBIR ALI


Junoon, sebuah kumpulan muzik dari Pakistan yang menyanyikan lagu-lagu berunsurkan Sufisme dalam bentuk Rock


Seni itu akal (Arts is mind)

Kerja seni itu melambangkan ketinggian daya fikir seorang seniman. Bahasa hanyalah permainan simbol yang berbagai bagi menyatakan makna yang tersirat di dalam akal. Sekiranya pemikiran tentang sesuatu itu kurang kreatif, cetek atau masih putik dan dangkal, maka seluruh karya itu terjejas mutunya dan tidak dapat diterima sebagai karya seni.


Seni itu bebas ( Arts is free)

Seni sebagai pengucapan yang tidak dipaksakan. Lahir dari keterpaksaan dalam diri untuk melimpah keluar seperti air yang melimpah keluar dari gelas yang telah berisi penuh. Tidak untuk propaganda atau khutbah dan bukan ransangan Nafsu Amarah untuk mengubah dunia.


Seni itu fitrah ( Arts is natural)

Penzahiran seni itu sesuai dengan fitrah pemikiran manusia dan alam. Selari dengan kehendak dan falsafah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad. Kerana sesuatu yang bercanggah dengan Sunnatullah itu akan perlahan-lahan musnah dengan sendirinya. Sama ada pengkaryanya atau peminatnya akan merasa kekacauan zahir dan batin. Perjalanan seniman mencari diri kemanusiannya ini boleh saja diganggu gugat oleh ego identiti tambahan yang diperolehi dalam perjalanan. Seperti sebagai Sasterawan Negara, penyair tersohor, penulis lirik terulung dan lain-lain. Pada hakikatnya kita hanyalah manusia yang berusaha meningkatkan kualiti kemanusiaannya sebelum mati. Kualiti kemanusiaan itu boleh dilihat pada peningkatan sadar nafsu, sadar akal, sadar hati dan sadar ruh.


Seni itu tidak berbentuk (Arts is formless)

Bila saja kita menentukan bentuk khas untuk sesuatu bidang seni, maka hilanglah kecairannya kerana seni itu seperti air yang berbentuk mengikut bekas di mana ia dimasukkan. Iaitu sama ada bulat atau tiga segi atau lonjong mengikut gelasnya. Sedang pada hakikatnya air itu cair dan tidak berbentuk. Jadi bila kita kategorikan Seni Islami itu begini; contohnya Nasyid, maka kita telah menutup pintu bahawa Seni Islami itu boleh juga lagu biasa bercerita tentang kemanusiaan dengan iringan muzik semi-akustik. Sastera Islami itu mesti mengambil bentuk tertentu, maka bentuk-bentuk lain tertolak. Padahal seniman itu perlu menjadi Seniman Islami, maka berbagai-bagai bentuk boleh lahir dari Seniman Islami itu.

Zubir Ali


Dipetik dari blog Zubir Ali di www.myspace.com/zubirali

Tiada ulasan: