Jumaat, 23 Mei 2008

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG


Ini pula merupakan filem epik Melayu yang masih belum ditayangkan di Malaysia. Filem Lembing Awang Pulang ke Dayang. Filem ini dibintangi oleh Farid Kamil, Siti Elizad, Zul Huzaimy, Lynette Ludi, Hattan, Aziz M. Osman, Dato' Mustapha Maarof, Kuswadinata, Khir Rahman, Datin Hajjah Rosnani Jamil, Uji Rashid dan M. Rajoli. Melihatkan pada nama-nama besar yang membarisi kasting untuk filem ini pastilah filem ini pun besar. Filem ini diarahkan oleh Majed Salleh. Tak kenal siapa Majed Salleh? Dulu pernah berlakon filem dan drama arahan Yusof Haslam, juga pernah mengarahkan beberapa drama TV. Filem ini rasanya filem yang pertama hasil buah tangannya.

Filem ini berdasarkan hikayat Lembing Awang Pulang ke Dayang yang berasal dari Johor. Hikayat ini juga dikatakan berlaku pada pertengahan tahun 1776 mengikut sejarawan Johor, Shahrom Hussien yang juga merupakan penulis skrip untuk filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Awang yang terpaksa mengembara selama tiga tahun demi menyempurnakan adat untuk mengahwini kekasihnya. Pelayarannya telah membawanya ke seluruh pelusuk Nusantara dari Makasar sehingga ke Goa, India. Dan sepanjang pelayarannya juga Awang telah memahami erti kehidupan dan mengetahui tentang salasilah keturunan keluarganya (Awang merupakan seorang pemuda keturunan Bugis, adakah Panglima Awang yang dikatakan lelaki Melayu pertama mengelilingi dunia merupakan orang yang sama?).


Siti Elizad memegang watak sebagai Dayang, kekasih Awang

Sementara itu di tanah kelahiran Awang, kekasih Awang iaitu Dayang telah dipikat oleh seorang pemuda bernama Bachok. Dan disebabkan oleh kepandaian Bachok memikat, ditambah pula dengan bantuan daripada guru silatnya Panglima Merah, Dayang telah berjaya ditawan oleh Bachok. Awang telah kembali pada hari perkahwinan Bachok dan Dayang bersama dua bilah lembing yang telah dianugerahkan kepadanya. Apabila mengetahui Dayang akan berkahwin dengan Bachok membuatkan Awang kecewa dan merancang untuk pergi membunuh Bachok menggunakan sebilah daripada dua lembingnya.

Apa yang menarik tentang hikayat ini adalah peristiwa pembunuhan itu di mana lembing yang digunakan oleh Awang telah meragut 99 nyawa secara sendiri bagaikan ada kuasa sakti yang memandu lembing tersebut. Menurut laman web Sinema Malaysia filem ini akan ditayangkan pada tahun 2008 tetapi tidak dinyatakan bilakah tarikh ia akan ditayangkan. Tak sabar pulak rasanya nak menonton filem ini.

Tiada ulasan: