Oleh Shaidah Shafie Petikan Berita Harian 5 Oktober 2006
Masyarakat perlu babitkan diri dalam kegiatan bermoral bukan ikut Barat pisahkan agama, manusia.
SEMINAR Serantau Dakwah dan Kesenian: Seni Membentuk Nilai Murni di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, memperakukan seni diterima dalam Islam dan boleh dimanfaatkan sebagai wahana dakwah Islamiah.
Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (JPDK), Fakulti Pendidikan Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, Islam tidak bersikap anti terhadap seni.
“Islam menolak seni yang merosakkan masyarakat. Justeru ulama dan agamawan perlu membabitkan diri dalam seni bagi memastikan seni murni mendapat tempat dalam arus perdana,” katanya ketika memperkatakan Seni Islam di Media: Literalis vs Idealis.
Pensyarah FPIUKM, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, berkata dalam masyarakat Islam, seni dan budaya bersatu membentuk kesatuan bertujuan mengingatkan manusia kepada kebesaran Ilahi.
“Berbeza dengan masyarakat Eropah yang menggunakan muzik untuk memisahkan manusia dengan Tuhan,” katanya ketika memperkatakan Pengurusan Kesenian Islam di Dalam Kebudayaan Melayu.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), UKM, Dr Mawar Shafie, memperakukan karya sastera antara yang banyak memasukkan unsur dakwah dengan mengambil novel Advancer Si Peniup Ney sebagai contoh.
“Faisal dalam novel itu mengkritik remaja yang mengutamakan hiburan tidak bermanfaat hingga leka menonton program televisyen dan pengarang memberi alternatif agar kelompok terbabit menghargai ‘souti sarmat’,” katanya.
‘Souti sarmat’ merujuk kepada mekanisme hiburan yang menawarkan pembersihan jiwa dan ingatan kepada Tuhan dan pengarang novel terbabit melihat ia sebagai dakwah untuk golongan remaja.
Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Azman Yusof, sependapat dengan Dr Mawar apabila turut melihat karya kreatif sebagai satu daripada gelanggang untuk berdakwah.
“Pengarang besar Indonesia, Hamka, mendahulukan kepentingan dakwah dan karya beliau seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Merantau Ke Deli, Menunggu Beduk Berbunyi dan Keadilan Ilahi dirujuk hingga kini,” katanya.
Pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, FPI, UKM, Dr Zamri Arifin, berkata dunia Melayu berjaya melahirkan ramai tokoh sarjana dan ulama terkenal yang dianggap pelopor kepada gerakan dakwah Islamiah di Alam Melayu.
“Keilmuan mereka tidak boleh dipertikai. Hasil tulisan mereka tersimpan di khazanah ilmu dunia Melayu. Antara yang terkenal ialah Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain a-Fatani, Sheikh Junid Tola, Sheikh Mohd Idris Al-Marbawi dan Tok Kenali,” katanya.
Tok Kenali yang terkenal sebagai antara ulama ulung Melayu turut mengarang syair dan menggunakan genre itu sebagai wahana dakwahnya selain pendekatannya itu tidak dapat dipecahkan ulama dewasa ini.
Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, FPI, UKM, Dr Jaffary Awang, pula berkata nasyid sebagai salah satu kesenian yang dibenarkan dalam Islam, mampu mengangkat minda masyarakat.
“Perkara ini dapat direalisasikan sekiranya penggubah dan penyanyi memasukkan unsur keilmuan secara kreatif jika mereka mahu pendengar tidak sekadar menerima nasyid sebagai hiburan,” katanya.
Entri ini aku 'curi' dari laman blog Faisal Tehrani di www.tehranifaisal.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan