Isnin, 28 April 2008

PENGAWAL RAJA YANG SETIA


Kalau cerita Hindustan cerita nie la kot yang aku suka, sebab cerita nie lain drpd cerita hindustan yg lain. Tak der adegan cintan yg meremangkan bulu roma, tak der adegan menyanyi menari sampai tukar2 baju, tapi action dia memang best, standard Hollywood.

Kisah ini berlaku di waktu sekarang, di abad ke-21. Di India, keluarga diraja masih wujud, tapi tidak ada kuasa memerintah. Cuma mereka mewarisi kekayaan yang dipegang oleh keluarga tersebut mengikut tradisi.

Amitabh Bachchan memegang watak sebagai Eklavya, pengawal peribadi raja yang menyambung tradisi keluarganya yang telah berkhidmat sebagai pengawal sejak 9 generasi. Dan kesetiaan kepada tuannya tidak berbelah bagi.

Suatu hari, Maharani telah mangkat. Ini membuatkan puteranya, Harshwardhan, pulang daripada London. Kepulangan Putera Harshwardhan (Saif Ali Khan) telah menemukan kembali dia bersama keluarganya, terutama sekali adik kembarnya yang terencat akal, Puteri Nandini dan kekasihnya sejak kecil, Rajjo. Malangnya kegembiraan yang terjadi akibat pertemuan itu tidak lama.

Tanah jajahan Raja Jaywardhan kini sedang dalam pergolakan. Rakyatnya yang merupakan golongan petani dipaksa untuk menjual tanah mereka. Ini menyebabkan berlaku pemberontakan dan Raja Jaywardhan sering mendapat panggilan berbentuk ugutan melalui telefon.

Seorang pegawai polis, Pannalal Chohar (Sanjay Dutt) telah diarahkan untuk menyiasat apa yang berlaku. Malangnya Raja Jaywardhan telah dibunuh dalam satu rusuhan manakala Eklavya telah dituduh membunuh.

Eklavya telah lari dari tahanan polis dan membuat penyiasatan sendiri siapa yang telah merancang pembunuhan Raja Jaywardhan. Akhirnya Eklavya mendapat tahu bahawa dalang pembunuhan tersebut ialah adik raja sendiri iaitu Rana Jyotiwardhan (Jackie Shroff) dan anaknya Udaywardhan (Jimmy Shergill). Eklavya telah membunuh kedua-dua mereka bagaimanapun sebelum mati, Rana Jyotiwardhan telah memberitahu Eklavya siapakah dalang pembunuhan yang sebenar. Pembunuhan itu telah dirancang oleh putera raja sendiri iaitu Putera Harshwardhan.

Eklavya kemudian pergi untuk membunuh Putera Harshwardhan. Apabila tiba di istana, Putera Harshwardhan seolah-olah telah menanti kedatangannya. Apabila Eklavya mengacukan pisaunya kepada Harshwardhan, dia bertanya kenapakah dia sanggup membunuh bapanya sendiri. Putera Harshwardhan menjelaskan tujuan dia membunuh raja adalah kerana membalas dendam atas perbuatan raja itu membunuh ibunya iaitu Maharani. Dia juga tahu bahawa Raja Jaywardhan bukanlah bapa kandungnya yang sebenar, sebaliknya bapa kandungnya ialah Eklavya, hasil hubungan sulitnya dengan Maharani.

Filem ini telah diarahkan oleh Vidhu Vinod Chopra dan telah dicalonkan sebagai Filem Bahasa Asing Terbaik dalam Anugerah Academy ke-80. Antara filem Hindustan kegemaran aku selain filem ini ialah Asoka, Lagaan, Mangal Pandey The Rising, Company, Vaastu Shastra, Darna Mana Hai, Ek Hasina Thi, Swades dan Darna Zaroori Hai. Dan filem-filem ini bukanlah filem tipikal Bollywood yang biasa.

Tiada ulasan: